Bot nelayan langgar syarat lesen ditahan

Empat kru termasuk seorang tekong bot ditahan oleh Maritim Malaysia.
Empat kru termasuk seorang tekong bot ditahan oleh Maritim Malaysia.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 yang disyaki melanggar syarat sah lesen pada malam, Khamis.

Pengarahnya, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot berkenaan ditahan kira-kira jam 10.30 malam oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Pertiwi/ Op Benteng.

Menurutnya, pasukan rondaan mengesan sebuah bot nelayan yang bergerak dalam keadaan bergelap disyaki sedang beroperasi menangkap ikan menggunakan pukat tunda di kedudukan 5.6 batu nautika tenggara Pulau Kendi.

"Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan kelas B1 berpangkalan di Teluk Bahang itu dikendalikan tiga kru warga tempatan berumur 45 tahun hingga 53 tahun, termasuk tekong dan seorang kru warga Thailand yang memiliki dokumen permaustatin tetap berusia 60 tahun berada di atas bot tersebut.

"Bot terbabit disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Abd Razak berkata, pihaknya menyita bot dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan dianggarkan seberat 100 kilogram.

Katanya, kesemua rampasan bersama tiga kru bot berkenaan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sementara itu, Abd Razak berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C atas kesalahan yang sama pada Selasa lalu.

Beliau memberi amaran kepada pemilik bot nelayan tempatan agar mematuhi syarat sah lesen menangkap ikan yang dikeluarkan dan tidak akan berkompromi kepada mereka yang sengaja melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia demi kedaulatan dan kesejahteraan perairan negara.

Orang awam diminta agar melaporkan sebarang penemuan dan melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.