Solat hajat mohon hujan

Zulkifly Tasrep
Zulkifly Tasrep
A
A
A

PONTIAN - Berikutan paras air Empangan Machap yang membekalkan air bersih kepada penduduk di Mukim Benut, Mukim Sungai Pinggan dan sebahagian Mukim Ayer Baloi kini berada pada paras minimum, solat hajat bagi memohon hujan dirancang akan diadakan di DUN Benut.

Penyelaras DUN Benut, Zulkifly Tasrep berkata, solat hajat berkenaan dirancang selepas penduduk dimaklumkan tentang penjadualan bekalan air yang dijangka bermula esok.

"Kita merancang untuk melakukan solat hajat bagi memohon hujan supaya keadaan air di Empangan Machap kembali pulih seperti sedia kala.

"Apabila empangan pulih, bekalan air berjadual tidak akan berpanjangan dan penduduk kembali mendapat bekalan air secukupnya," katanya.

Zulkifly berkata, berikutan bekalan air berjadual, penduduk dinasihatkan berjimat cermat menggunakan air bersih.

“Seandainya berlaku perkara penting seperti kematian, penduduk perlu maklum kepada ketua kampung bagi membolehkan bantuan bekalan air bersih diperoleh dari SAJ Ranhill.

“Bagi yang mengadakan majlis kenduri perkahwinan, difahamkan mereka perlu menyediakan tong simpanan air bersih bagi menyimpan bekalan air yang akan dihantar kelak,” katanya.

Katanya, penduduk juga lega kerana gangguan bekalan air yang berlaku kelmarin, tidak berpanjangan.

Artikel Berkaitan:

“Bekalan air terjejas akibat pencemaran ammonia di Sungai Ulu Benut dan Sungai Machap.

“Penduduk memperoleh bekalan air bersih semula pada jam 8 malam kelmarin,” katanya.