X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Individu pertama didakwa Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dibebaskan

Wafiy (kiri) dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat setelah memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua tahun lalu.
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Education Malaysia Global Services (EMGS) yang merupakan individu pertama didakwa bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menyebabkan seorang kakitangan dipecat setelah memberikan maklumat mengenai salah lakunya kepada pihak berkuasa, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussain membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMGS, Wafiy Abd Aziz, 37, di akhir kes pendakwaan.

"Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan, autoriti undang-undang yang berkaitan, hujahan peguam bela dan pendakwa raya, mahkamah mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

"Dengan itu tertuduh diperintahkan untuk dilepaskan daripada pertuduhan dan wang jaminan RM15,000 dipulangkan," katanya.

Sejurus hakim Suzana memutuskan demikian, Wafiy yang hadir dengan memakai sut hitam, memeluk isterinya yang berada di galeri awam.

Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan 17 saksi pendakwaan selepas dia dituduh pada 18 September 2020 dan mula dibicarakan 27 April 2021.

Antara saksi utama yang dipanggil ialah Pengerusi EMGS, Datuk Abdul Rahman Mohamed Sharif dan CEO EMGS, Shahinuddin Shariff.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali.

Mengikut pertuduhan, Wafiy didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Pengerusi EMGS, supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki terbabit, sebagai suatu tindakan balas kerana pendedahan berkenaan kelakuannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dia merupakan individu pertama didakwa mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak berkuat kuasa pada 2010.

Wafiy didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Education Malaysia Global Services di Jalan Mayang Sari di sini, 9 Januari 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu yang mewakili Wafiy mengucapkan kesyukuran kerana mahkamah telah memberi keadilan kepada anak guamnya.

"Sebelum ini anak guam kami berasa teraniaya kerana dia tidak mengapi-apikan sebarang pemecatan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!