X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Bangkit kecam kekejaman Zionis

Ismail Sabri Yaakob - Foto fail Bernama
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk bangkit mengecam kekejaman Zionis terhadap Palestin.

Menurutnya, langkah itu merupakan tanggungjawab kepada manusia lain lebih-lebih lagi terhadap sesama saudara seislam.

"Peperangan ini telah mengancam fabrik keamanan antarabangsa," katanya dalam ucapan perasmian Sidang Kemuncak Ulama, di sini pada Jumaat.

Teks ucapannya dibacakan oleh Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, dunia Islam mungkin berpecah-belah kepada banyak cabang entiti politik dan etnik, namun, persaudaraan ummah harus mengatasinya.

"Baik atau buruk, hampir seluruh 1.7 bilion umat Islam memberi impak kepada dunia secara keseluruhan dalam isu Palestin dan Al-Aqsa ini," katanya.

Tegas Ismail Sabri, tiada kaum, bangsa atau kumpulan etnik tertentu yang lebih berhak untuk menganggu-gugat kesejahteraan umat Islam.

"Masalah Palestin dan Al-Aqsa ini sudah terlalu lama dan kita harus mendekati masalah ini dengan komitmen yang lebih tinggi dalam rangka perpaduan," katanya.

Menurutnya, dunia telah menutup mata terhadap penderitaan Palestin selama berdekad-dekad lamanya.

"Ketidakadilan dan penghinaan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin telah berulang kali disuarakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga di platform-platform lain dan banyak resolusi telah diluluskan tetapi kekejaman dan penganiayaan terus dilakukan tanpa henti oleh Israel," katanya.

Ikrar Ismail Sabri, Malaysia akan terus memainkan peranan sebagai sebuah negara Islam tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha ke arah perpaduan Islam dan kesejahteraan ummah khususnya dalam pembebasan Al-Aqsa kota suci ketiga Umat Islam," katanya.

Tambahnya, persidangan mengenai isu Al-Aqsa itu diharap dapat membawa umat Islam dekat kepada penyelesaian yang boleh dilaksanakan

"Kami berada di sini bukan kerana bersekutu dengan rakyat Palestin tetapi percaya bahawa keadilan adalah untuk semua manusia.

Rakyat Palestin adalah sebahagian daripada masyarakat dunia seperti kita semua," katanya.

Sidang Kemuncak Ulama menghimpunkan 150 ulama dan cendekiawan seluruh dunia bagi membincangkan isu penting berkaitan perpaduan asas pembebasan al-Aqsa.

Persidangan selama tiga hari itu dianjurkan oleh MyAqsa dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Ali Al- Quradaghi.

Pada 15 Mei lalu, Malaysia lantang meminta Amerika Syarikat (AS) bersikap jujur menyelesaikan kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

Perkara itu disuarakan Ismail Sabri semasa Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dipengerusikan Presiden Joe Biden di Washington DC.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!