Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: Tahniah rakyat Malaysia

Khairy Jamaluddin Foto Bernama
Khairy Jamaluddin Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Angka kes harian baharu Covid-19 menurun sedikit sepanjang enam hari lepas (14 Mei hingga 19 Mei) dengan 11,919 kes dilaporkan berbanding 15,107 kes sepanjang tempoh yang sama (7 Mei hingga 12 Mei).

Penurunan ini sudah tentu melegakan berikutan kes harian baharu yang dikesan meningkat sepanjang minggu pertama Hari Raya Aidilfitri, bermula 4 Mei (1,054 kes) sehingga angka tertinggi 3,410 kes pada 12 Mei 2022.

Pada Khamis (19 Mei), sebanyak 2,124 kes harian baharu Covid-19 dilaporkan. Malaysia mencatat kes harian terendah untuk 2022 sebanyak 922 pada 3 Mei.

Dengan 2,124 kes harian baharu, kes kumulatif Covid-19 Malaysia meningkat kepada 4,485,419.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipetik media tempatan mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana mengamalkan tingkah laku yang baik dalam fasa peralihan ke endemik.

Menurut beliau, ini membuktikan bahawa rakyat negara ini mempunyai kemampuan untuk menjayakan fasa peralihan ke endemik ini dan masih patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang penularan Covid-19.

Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April 2022 sebagai 'exit strategy' untuk membolehkan rakyat negara ini kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal selepas dua tahun berperang dengan Covid-19.

Perlu disebut, untuk bulan Mei 2022 setakat ini (1 Mei hingga 19 Mei), hanya satu kluster baharu dilaporkan iaitu pada 11 Mei melibatkan kluster pusat tahanan di Serian, Sarawak (Kluster Dti Semuja 4).

Dengan 2,124 kes harian baharu, kes kumulatif Covid-19 Malaysia meningkat kepada 4,485,419.

Artikel Berkaitan:

Kes sembuh Covid-19 sebanyak 2,303 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk 19 Mei menjadikan kes aktif Covid-19 menurun sedikit kepada 29,789. Kes kumulatif sembuh setakat pukul 11:59 malam 19 Mei 2022 adalah sebanyak 4,419,997.

Berikut kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (14 Mei hingga 19 Mei 2022):14 Mei (2,373), 15 Mei (2,239), 16 Mei (1,697), 17 Mei (1,469), 18 Mei (2,017) dan 19 Mei (2,124).

Dengan sebanyak 4,485,419 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 23 daripada 227 buah negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia ialah Ukraine (5,009,301) dan Mexico (5,752,441).

Dalam kalangan 227 buah negara, mengikut data terkini Worldometer, Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) mencatat kes harian baharu tertinggi sebanyak 262,280 kes, diikuti Amerika Syarikat 88,130 kes dan Jerman 56,446 kes.

DPRK adalah negara terkini dimasukkan dalam senarai negara yang dilanda pandemik Covid-19 dan setakat Khamis berada di tangga 42 dengan kes kumulatif sebanyak 1,978,230. Pada Selasa (16 Mei) negara itu melaporkan kes harian sebanyak 392,930.

Dari segi angka kematian, Amerika Syarikat mencatat angka kematian akibat Covid-19 tertinggi dengan 1,028,298 kes semalam.

Sementara itu, data COVIDNOW KKM setakat pukul 11:59 mlm 19 Mei 2022 menunjukkan sebanyak 28,569 kes (95.9 peratus) dikuarantin di rumah daripada 29,789 kes aktif Covid-19 yang dilaporkan.

Sebanyak 20 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC); 1,165 kes (3.9 peratus) di hospital; 13 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 22 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP. - Bernama