Rodgers kecewa terikat dengan Chelsea

Rodgers - Foto: twitter
Rodgers - Foto: twitter
A
A
A

TERIKAT 1-1 dengan Chelsea pada Jumaat nyata mengecewakan pengendali Leicester City, Brendan Rodgers, kerana dilihat menyempitkan lagi peluang The Foxes menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dalam kelompok lapan pasukan teratas.

Menurut Rodgers, setelah melalui satu musim yang agak baik, sudah semestinya dia mahu menyaksikan skuad kendaliannya itu berada pada kedudukan yang lebih baik pada penghujung musim ini.

“Kami nyata kecewa dengan gol penyamaan jaringan pemain Chelsea yang mana jaringan itu memerlukan kami untuk bekerja keras bagi menjaringkan gol kedua.

“Namun, kami sedar pasukan yang ditentang kali ini merupakan pasukan yang berada pada kelas tersendiri dan pernah muncul juara Eropah, tahun lalu.

“Jika diberikan banyak ruang dan peluang, mereka akan memusnahkan pasukan anda, namun kami bernasib baik kerana tidak memberikan banyak ruang kepada mereka kali ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan pemain The Foxes, James Maddison membuka jaringan pada minit keenam sebelum Marcos Alonso menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-34 dan seterusnya memastikan kedua-dua pasukan berpuas hati meraih satu mata.

Kekalahan berkenaan menyaksikan Leicester berada pada kedudukan kesembilan dengan 49 mata hasil 13 kemenangan, seri 10 kali dan tewas 14 kali daripada 37 perlawanan yang diharungi.

Sementara itu mengulas lanjut, Rodgers berkata, saingan musim ini agak menarik dan diharapkan pemain dapat menjadikannya sebagai pengalaman berharga.

Malah katanya, pengalaman itu juga dilihat berharga dan boleh dimanfaatkan bagi mengharungi saingan musim depan.

“Musim kali ini memang agak menarik. Ia juga boleh dikatakan sebagai musim yang agak mencabar terutamanya ketika kami berdepan dengan masalah kecederaan pemain.

“Apa pun, diharapkan saingan musim ini memberikan pengalaman untuk kami mengharungi saingan musim depan yang jauh lebih mencabar,” katanya.