PM mahu Sabah, Sarawak nikmati pembangunan pesat seperti negeri lain

Ismail Sabri.- Foto Bernama
Ismail Sabri.- Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Sabah dan Sarawak bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti di negeri-negeri lain di Semenanjung.

Beliau berkata, kerajaan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol bakal mampu mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun.

"Pada masa sama, kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

"Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai agensi pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Jelajah Aspirasi Jelajah Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu turut berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan juga menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

"Justeru, kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak, termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.

"Di bawah fasa pertama BMTKM, sebanyak 10 lokaliti di Sabah telah dikenal pasti iaitu di Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

"Sebelum ini, program membasmi kemiskinan dilaksanakan secara 'silo' di hampir semua agensi yang terbabit.

"Namun di bawah program BMTKM, EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti kementerian, kerajaan negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti," katanya.