Kos baiki enam ban pecah cecah RM1 juta

Keadaan banjir di Kampung Sungai Durian akibat limpahan air pasang besar yang berlaku sejak Ahad lepas. Foto: ihsan pembaca
Keadaan banjir di Kampung Sungai Durian akibat limpahan air pasang besar yang berlaku sejak Ahad lepas. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

PASIR SALAK - Kira-kira RM1 juta diperlukan bagi kerja-kerja membaik pulih enam ban di Mukim Sungai Durian, Hilir Perak yang pecah akibat fenomena air pasang besar yang melanda kawasan itu, sejak Ahad lalu.

Keadaan ban yang runtuh itu telah mengakibatkan hampir 30 kediaman penduduk di Kampung Sungai Durian dan Kampung Selat Masjid dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Gajah terjejas selepas dinaiki air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, siasatan awal dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengesan, enam ban telah pecah dengan dua daripadanya mengalami kesan runtuhan agak kritikal.

Menurutnya, kos untuk baik pulih dua ban yang kritikal itu antara RM200,000 hingga RM300,000 manakala lebih RM700,000 diperlukan untuk membaiki empat lagi ban.

"Fenomena air pasang ini memang biasa berlaku kerana air sungai naik penuh, tetapi yang membuatkan keadaan lebih teruk apabila ban yang menampung itu pecah.

"Sebab itu sejak Ahad lalu, air mula masuk ke kawasan rumah penduduk, kebun-kebun sawit dan beberapa premis lain seperti masjid dan tadika.

"Saya telah berjumpa dengan JPS dan mereka telah bersetuju untuk baik pulih dua ban yang kritikal itu dahulu. JPS juga bersedia untuk mencari peruntukan tambahan bagi membaiki empat ban yang lain," katanya.

Wan Norashikin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat DUN Kampung Gajah pada Khamis.
Wan Norashikin menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat DUN Kampung Gajah pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Pusat Khidmat DUN Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Wan Norashikin yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri berkata, kerja-kerja baik pulih dua ban yang kritikal dijangka hanya dapat dimulakan dalam masa 10 hari lagi sehingga paras air benar-benar surut.

Katanya, ketika ini paras air pasang mulai surut namun dijangka tinggi menjelang Ahad ini.

"JPS tidak boleh terus mulakan kerja baik pulih memandangkan keadaan air tengah deras.

"Jadi kita mohon penduduk bersabar sementara usaha sedang dilakukan bagi mengatasi masalah ini daripada berulang," katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, limpahan air pasang besar berlaku di kawasan itu akibat ban pecah menyebabkan 30 kediaman penduduk di Kampung Sungai Durian dan Kampung Selat Masjid dimasuki air.

Kejadian juga mengakibatkan murid-murid kelas Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dan prasekolah di kawasan itu tidak dapat meneruskan aktiviti pembelajaran disebabkan tadika dan masjid turut dinaiki air.