Pas lintas sempadan disedia di Pos Kawalan Imigresen

Ismail Sabri Foto: Bernama
Ismail Sabri Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Penduduk di sekitar Pagalungan, Nabawan kini tidak perlu lagi pergi ke Keningau untuk mendapatkan Pas Lintas Batas menyeberang sempadan Kalimantan, Indonesia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkongsi berita gembira itu berkata, pas berkenaan kini boleh didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan dan penduduk terbabit tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau.

Beliau turut memaklumkan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) juga i boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen.

"Bagi memastikan 'no wrong door policy' urusan pembaharuan PLKS kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini," katanya ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.

Bercakap mengenai isu keselamatan perairan negeri ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan turut menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya.

"Sehubungan itu, Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah," katanya.