HFMD: Tutup premis jagaan kanak-kanak jika lebih empat kes

HFMD di Melaka merekodkan peningkatan sehingga mencecah 1,633 kes dengan 20 premis diarah tutup setakat Rabu.
HFMD di Melaka merekodkan peningkatan sehingga mencecah 1,633 kes dengan 20 premis diarah tutup setakat Rabu.
A
A
A

MELAKA - Premis berkaitan kanak-kanak seperti taska, tadika dan pusat jagaan di Melaka yang merekodkan lebih daripada empat kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan ditutup selama 10 hari selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM), Dr Rusdi Abd Rahman berkata, justeru pengusaha premis berkenaan diminta segera melaporkan perkara tersebut kepada JKNM bagi tindakan kawalan dan pencegahan wabak berkenaan daripada terus menular khususnya dalam kalangan kanak-kanak berusia satu hingga 10 tahun.

Beliau berkata, pengusaha yang gagal melaporkan perkara berkenaan dengan kadar segera boleh dikenakan tindakan mahkamah di bawah Akta 342.

"HFMD selalunya boleh hilang sendiri tetapi adakalanya ia akan mendatangkan komplikasi yang teruk iaitu miokarditis atau keradangan otot jantung dan itu yang paling kita takuti.

"Jika kes yang dilaporkan melebihi empat kes, premis tersebut akan ditutup. Begitu juga jika hanya dua kes tetapi kita dapati ramai kanak-kanak di premis jagaan itu demam tetapi belum ada lepuh, kita juga akan tutup terus premis itu," katanya kepada pemberita selepas Operasi Mega Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan Akta 342 di sini lewat malam Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penutupan premis berkenaan dilakukan ekoran kes HFMD di Melaka yang terus merekodkan peningkatan dari hari ke hari sehingga mencecah 1,633 kes dengan 20 premis diarah tutup setakat Rabu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 772 kes dilaporkan di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah (516 kes) dan Jasin (345 kes) manakala premis yang ditutup terdiri daripada taska (6), tadika (7), tabika (1), rumah persendirian (4) dan pusat jagaan kanak-kanak (dua).

Beliau memberitahu, pada Rabu lepas sahaja, kes yang didaftarkan di ketiga-tiga daerah di Melaka adalah melebihi paras epidemik iaitu 148 kes di Melaka Tengah, Alor Gajah (83 kes) dan Jasin (24 kes).

"Kita berharap kes HFMD ini akan dapat dikurangkan tetapi kita amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutama pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak agar memastikan kebersihan di premis mereka sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam pengurusan anak yang dijangkiti HFMD kerana penyakit itu bukan sahaja boleh menjangkiti anak yang lain daripada 'blister' atau lepuh, tetapi daripada najis dan air kencing mereka," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 301 kompaun bernilai RM60,000 telah dikeluarkan di bawah PPKHT 2004 dalam tempoh 2 Jan hingga 14 Mei lepas dan sebanyak RM42,775 daripada nilai kompaun itu telah dijelaskan.

Katanya, dalam tempoh sama juga sebanyak 705 notis kesalahan dikeluarkan antaranya merokok di kawasan larangan merokok (384 notis), larangan merokok di kawasan Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) (204 notis), gagal memastikan tiada seorang merokok di dalam premis atau kenderaan (17 notis) dan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis atau kenderaan (18 notis).

"Dalam operasi malam ini sahaja, kita telah mengeluarkan lapan kompaun antaranya pengusaha kedai tidak menampal notis larangan merokok (satu kes), menghisap vape (satu kes) dan merokok di kedai makan (enam kes)," katanya. - Bernama