Budaya toksik di Parlimen perlu diubah

Mohamad Ariff (berdiri) ketika memberikan ucapan dalam forum buku tulisannya bertajuk 'Parliament, Unexpected' yang diadakan di Dewan Konvensyen SOGO KL pada Khamis.
Mohamad Ariff (berdiri) ketika memberikan ucapan dalam forum buku tulisannya bertajuk 'Parliament, Unexpected' yang diadakan di Dewan Konvensyen SOGO KL pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Usaha untuk mereformasi Parlimen perlu dimulakan dengan mengubah budaya toksik yang dilihat masih diamalkan di institusi tersebut ketika ini, kata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata, langkah untuk menangani budaya tidak sihat antaranya suasana perbahasan yang sering digambarkan seperti ‘pasar malam’ telah dimulakan semasa tempoh perjawatannya sebelum ini melalui pemerkasaan sistem jawatankuasa di Parlimen.

“Bukan nak katakan ia (perbahasan sihat) tidak pernah berlaku, ia berlaku semasa peringkat awal (kewujudan Parlimen selepas merdeka). Tapi ia kemudiannya secara beransur-ansur berubah kepada sesuatu yang serupa seperti pasar malam.

“Saya cuba mengubah perkara tersebut melalui pelbagai cara terutamanya dengan langkah membawa perbahasan yang dilakukan pada sidang Dewan Rakyat kepada jawatankuasa Parlimen

“Saya sudah berusaha dengan mewujudkan enam Jawantankuasa Pilihan Khas sebagai permulaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbincangan buku tulisannya bertajuk 'Parliament, Unexpected' yang diadakan di Dewan Konvensyen SOGO KL di sini, pada Khamis.

Turut serta pada sesi tersebut ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan bekas Pengarang Kumpulan News Straits Times, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Mengulas lanjut, Mohamad Ariff berkata, sebanyak 10 Jawatankuasa Pilihan Khas berjaya diwujudkan semasa tempohnya sebagai Speaker Dewan Rakyat dan ia merangkumi hampir keseluruhan ruang lingkup pentadbiran kerajaan.

“Tetapi apa yang berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’, Perikatan Nasional (PN) ambil alih dan menterbalikkan kesemuanya. Kita bermula balik dari awal. Sistem jawatankuasa kita ada hari ini adalah sistem yang telah dirombak tapi ia masih tidak berfungsi.

“Kenapa? Sebab tiada kesedaran dan niat baik untuk menggunakannya,” ujarnya yang turut menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan sistem jawatankuasa itu untuk menangani budaya toksik di Parlimen.

“Peraturan sudah ada, tapi persoalannya adalah adakah ahli politik kita bersetuju untuk bermain mengikut peraturan permainan?” soalnya.

Sementara itu, Hannah berkata, terdapat tiga perkara kecil dilakukan Mohamad Ariff semasa menjadi Speaker Dewan Rakyat yang menimbulkan ketakutan terhadap menteri di dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Tiga perkara tersebut menurut Hannah ialah penstrukturan tempoh pertanyaan, pertambahan soalan tambahan dan pengenalan waktu pertanyaan menteri.

“Waktu pertanyaan adalah sangat penting untuk menteri hadir dan menjawab berkenaan polisi mereka. Jadi apa yang dia lakukan adalah mengaturkan soalan mengikut kementerian. Setiap hari sekurang-kurangnya tujuh kementerian perlu hadir dan jawab. Jadi tiada siapa terlepas.

“Selain itu, dia juga membenarkan lebih daripada tiga soalan tambahan kepada kami sekiranya ia membabitkan isu penting. Jadi bila kita tahu Speaker tidak berpihak kepada kita, ia menimbulkan ketakutan kepada kami dan memerlukan kami untuk lebih bersedia.

“Ia berbeza sekarang yang dah berhenti pada soalan kedua dan menteri melarikan diri,” katanya.