X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Politik Malaysia belum matang kerana sikap ahli Parlimen

(Dari dua kiri) Mohamad Ariff, Mohd Munir, Ambiga, Hannah dan Syed Saddiq ketika sesi perbincangan dalam forum buku tulisan Mohammad Ariff bertajuk 'Parliament, Unexpected' yang diadakan di Dewan Konvensyen SOGO KL pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - Demokrasi di Malaysia masih belum mencapai kematangan kerana sikap sesetengah ahli Parlimen yang mengambil mudah terhadap kepentingan peranan institusi Dewan Rakyat, kata aktivis politik, Datuk Ambiga Sreenavasan.

Bekas Presiden Majlis Peguam itu berkata, perkara tersebut dapat dilihat melalui pengalaman dilaluinya ketika melobi untuk menentang sebuah Rang Undang-Undang (RUU) yang perlu diputuskan di Parlimen.

Dakwanya, terdapat ahli Parlimen terutamanya daripada blok kerajaan pada ketika itu didapati langsung tidak membaca RUU terbabit sebelum membuat pilihan dan hanya mengundi mengikut kehendak kerajaan.

“Apabila kami (kumpulan masyarakat sivil) melobi menentang Akta Keselamatan Negara, kami pergi ke Parlimen dan saya boleh beritahu anda bahawa ada ahli Parlimen kerajaan yang akan mengundi tetapi belum membaca RUU itu.

“Apa yang mereka tahu, itu bukan kerja mereka. Mereka cuma mengundi mengikut apa yang kerajaan mahukan, titik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis pada sesi perbincangan dalam forum buku tulisan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, 'Parliament, Unexpected' yang diadakan di Dewan Konvensyen SOGO KL, di sini, pada Khamis.

Hadir sama pada sesi perbincangan bertajuk 'Adakah Parlimen Merupakan Kunci Kepada Reformasi' ialah Mohamad Ariff; bekas Pengarang Kumpulan News Straits Times, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ambiga berkata, negara pernah melalui fasa kematangan dalam berpolitik pada masa lalu dan ia dapat dilihat melalui perdebatan yang direkodkan pada hansard (senarai penyata rasmi) Parlimen yang direkodlkan pada waktu tersebut.

Namun begitu, beliau berkata, situasi itu telah berubah disebabkan oleh individu yang dipilih untuk mengisi jawatan sebagai wakil rakyat.

“Macam mana bagus sekalipun peraturan atau panduan yang disediakan (di Parlimen) untuk pastikan seseorang itu beradab, akhirnya ia tetap bergantung kepada individu yang duduk di tempat tersebut,” ujarnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!