Malaysia dijangka capai sasaran 36 emas hari ini

Sharmendran mencipta sejarah tersendiri di Sukan SEA apabila melakar hatrik memenangi emas kumite lelaki bawah 75kg.
Sharmendran mencipta sejarah tersendiri di Sukan SEA apabila melakar hatrik memenangi emas kumite lelaki bawah 75kg.
A
A
A

TUMPUAN peminat sukan tanah air pada hari ke-13, Jumaat pastinya terarah kepada pencapaian atlet negara dalam mencapai sasaran 36 pingat emas pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam.

Selepas mencatat keputusan membanggakan pada hari ke-12 dengan meraih tujuh pingat emas pada Khamis, kontinjen negara memerlukan dua lagi kilauan emas bagi mencapai sasaran itu dan setakat ini, kem negara mengutip keseluruhan 34 emas, 38 perak dan 73 gangsa untuk kekal di kedudukan keenam.

Acara karate dan menembak yang sebelum ini cemerlang menyumbangkan pingat emas diharap dapat meneruskan momentum kemenangan selain beberapa acara final melibatkan atlet negara dijangka mampu mencipta kejutan bagi menghadiahkan emas kepada kontinjen Malaysia.

Skuad gimnastik dan memanah muncul pasukan paling cemerlang apabila masing-masing menyumbangkan dua pingat emas.

Skuad gimrama negara yang dianggap gergasi dalam sukan itu di rantau ini tidak berdepan masalah untuk menyapu bersih dua pingat emas yang dipertanding dalam acara all-around individu menerusi Koi Sie Yan dan all-around berkumpulan.

Penantian skuad memanah kebangsaan untuk menuai pingat emas pada temasya kali ini juga berakhir pada Khamis selepas gandingan Mohd Juwaidi Mazuki-Fatin Nurfatehah Mat Salleh mendominasi saingan final compound berpasukan campuran.

Sejurus menghadiahkan kejayaan bermakna buat kem negara, Mohd Juwaidi yang juga atlet Olimpik menggondol emas keduanya di temasya sukan dwitahunan itu dalam acara compound individu lelaki.

Di lapang sasar menembak, Johnathan Wong kembali merampas pingat emas acara 10 meter (m) air pistol lelaki selepas gagal berbuat demikian pada edisi 2019 di Filipina.

Sementara itu, jaguh karate negara, R Sharmendran mencipta sejarah tersendiri apabila melakar hatrik memenangi emas kumite lelaki bawah 75 kilogram (kg) manakala atlet taekwondo Muhammad Syafiq Zuber pula cemerlang apabila menjuarai acara kyorugi welterweight (80kg).

Selepas berakhir hari ke-12, tuan rumah Vietnam kekal di kedudukan teratas pungutan pingat apabila mengumpul 153 emas, 89 perak dan 84 gangsa diikuti Thailand 62-68-96, Singapura 44-43-55, Indonesia 42-61-56 dan Filipina di tempat kelima dengan 40-57-79.

Sementara itu, hasrat skuad Bawah 23 (B-23) tahun kendalian Brad Maloney untuk merangkul ‘ibu segala pingat’ pada temasya Sukan SEA edisi ke-31 kali ini tidak kesampaian apabila terkandas di separuh akhir setelah tumpas 0-1 kepada juara bertahan Vietnam pada aksi penuh dramatik malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Harimau Muda terpaksa menunggu lebih lama untuk menamatkan kemarau 11 tahun merangkul pingat emas Sukan SEA selepas kali terakhir memenanginya pada edisi Indonesia 2011. - Bernama