Zii Jia, Liew Daren mara suku akhir Terbuka Thailand

Zii Jia. - Foto BAM
Zii Jia. - Foto BAM
A
A
A

PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia dan Liew Daren melangkah ke suku akhir Terbuka Thailand berlangsung di Impact Arena di Bangkok pada Khamis.

Zii Jia meneruskan momentum kemenangannya apabila mengecewakan pemain dari Jerman, Kai Schaefer 21-7, 21-11 dalam tempoh 33 minit perlawanan.

Pemain keenam dunia berusia 24 tahun itu akan berdepan Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia manakala Daren menempah pertemuan dengan pemain China Zhao Jun Peng.

Terdahulu, Daren terpaksa bermandi peluh sebelum mengecewakan pemain Jepun Koki Watanabe 16-21, 22-20, 21-11.

Sementara itu, beregu utama negara Aaon Chia-Soh Wooi Yik turut mara ke suku selepas menewaskan pasangan Taiwan Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan 21-18, 21-16, untuk berdepan satu lagi pasangan Tawain Lee Yang-Wang Chi Lin di suku akhir esok.

Turut ke suku akhir, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mengalahkan pasangan Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov 21-16, 21-11, dan akan bertembung dengan pemain Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Gandingan wanita negara Pearly Tan-M Thinaah menempah tiket suku akhir Terbuka Thailand selepas menang ke atas pasangan China Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting 21-17, 21-11.

Namun, nasib berbeza buat Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang tewas kepada pasangan Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota 21-9, 21-8 manakal pasangan Anna Ching Yik Cheong-Teoh Mei Xing tersingkir selepas tewas kepada Baek Ha-Na-Lee Yu - Lim dari Korea Selatan 19-21, 21-11, 21-11.

Beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke suku akhir selepas menyingkir pasangan India Ishaan Bhatnagar and Tanisha Crasto 21-19, 22-20 untuk berdepan Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun. - Bernama