Hapuskan era monopoli, manipulasi harga

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan permit import (AP) bagi membawa masuk bahan makanan berkuat kuasa serta merta dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu dilihat sebagai langkah berani kerajaan untuk memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Dengan pemansuhan tersebut, sesiapa sahaja yang berkelayakan boleh mengimport makanan ke negara ini. Apabila banyak pilihan, maka mereka akan bersaing sesama sendiri.

Persaingan yang kompetitif, sihat dan adil itu akan menguntungkan rakyat, khususnya dalam tawaran harga yang lebih rendah.

Ia secara tidak langsung membantu mewujudkan pasaran yang lebih terbuka dan bebas, sekali gus dapat meningkatkan kecekapan ekonomi negara.

Sekurang-kurangnya era monopoli yang menguntungkan segelintir pihak dan isu manipulasi harga dapat dihapuskan.

Sebelum ini ada sahaja alasan diberikan oleh mereka yang menguasai pasaran – cuaca tidak menentu, permintaan terlalu tinggi, mata wang jatuh dan banyak lagi, sedangkan hakikat sebenar kesan terhadap peningkatan harga barang dan perkhidmatan tidaklah begitu ketara.

Bagaimanapun, keputusan pemansuhan AP perlulah seiring dengan langkah-langkah bagi jangka masa panjang.

Pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan perlu memikirkan usaha yang lebih konkrit bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

Misalnya, mentransformasikan pertanian di Malaysia secara besar-besaran. Tanah-tanah yang banyak terbiar harus dimanfaatkan sepenuhnya. Galak anak-anak muda menceburi bidang pertanian dan berikan pelbagai inisiatif serta insentif yang menarik.

Budaya ‘orang tengah’ dalam sektor pertanian dan rantaian makanan juga mesti dihapuskan bagi mengawal kos sara hidup yang meningkat.

Isu keselamatan makanan adalah kebimbangan utama di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan bagi memastikan bahan makanan asas sentiasa mencukupi, tidak terjejas dan harganya ‘mampu milik’ untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.