Kalau susah nak menabung, belilah emas...

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEJAK harga emas turun dalam tempoh kebelakangan ini, Merak Jalanan perhatikan kedai-kedai emas kini jadi tumpuan dan sentiasa sesak dengan ramai pelanggan terutama golongan wanita.

Mereka menyerbu premis berkenaan untuk mendapatkan koleksi perhiasan idaman hati dengan harga lebih rendah.

Tak terkecuali rakan-rakan wanita Merak Jalanan. Mereka adalah pencinta emas tegar. Topik seminggu dua ini sudah tentulah mengenai emas.

Pulut dakap, lipan, lintah, latok, biji anggur, biskut tawar, ekor kucing, mata petai, sepak takraw, roti bun, malah KLCC pun ada. Itu gelaran atau nama-nama istimewa diberikan untuk koleksi emas tersebut.

Bicara dan hujah mereka tentang harga emas semasa membuatkan Merak Jalanan rasa kagum. Kata mereka, kejatuhan harga emas adalah masa terbaik untuk menambah pegangan logam berharga yang kalis inflasi itu dengan lebih banyak bagi simpanan masa hadapan.

Ia bersifat pelaburan jangka masa panjang yang menguntungkan. Tak hairanlah jika wanita tidak pernah berhenti untuk mendapatkannya.

Emas boleh dijual pada bila-bila masa apabila harganya meningkat. Malah, boleh digunakan bagi tujuan kecemasan. Dalam keadaan orang memerlukan wang, emas boleh digadai mahupun dijual demi kelangsungan hidup.

Jadi kata rakan Merak Jalanan, janganlah ‘menghukum’ dengan mengatakan membeli emas itu adalah suatu pembaziran atau mahu menunjuk-nunjuk.

Itu mungkin salah satu cara mak-mak yang susah nak menabung wang tunai tapi duit yang ada beli emas. Kalau terdesak, itulah jaminan dan cagaran yang sangat bernilai kepada wanita.

Apa pun pendapat, terpulanglah kepada niat dan tujuan. Kecil atau besar barang kemas yang dibeli, itu hak masing-masing. Ukurlah baju di badan sendiri. Satu sahaja Merak Jalanan nak pesan, hati-hati membeli emas, jangan sampai tertipu dan sentiasa waspada, takut nanti jadi sasaran penjenayah.