X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Sharmendran raih hatrik emas Sukan SEA

Sharmendran
A
A

PENGORBANAN yang dilakukan jaguh karate negara, R Sharmendran berbaloi apabila berjaya mencipta hatrik meraih pingat emas acara kumite lelaki bawah 75 kilogram (kg) pada Sukan SEA Hanoi 2021 pada Khamis.

Ketika ramai atlet mungkin bersara selepas mengalami kecederaan serius, semangat yang ditampilkan atlet berusia 30 tahun itu untuk beraksi di kejohanan kompetitif harus dipuji kerana menyumbangkan pingat emas ketiga buat skuad karate negara selepas meraih dua emas pada Rabu.

Pengalaman dimiliki Sharmendran jelas membantunya menumpaskan lawan dari Indonesia, Ignatius Joshua Kandou 3-1 dalam pertarungan akhir yang berlangsung di Gimnasium Sukan Wilayah Ninh Binh, kira-kira 100 kilometer dari sini.

Peserta tuan rumah, Duc Thinh Chu terpaksa berpuas hati meraih gangsa selepas menewaskan atlet Filipina Prince Izmen Louis Alejo Escover 9-1.

Sebelum itu, Sharmendran cemerlang menumpaskan peserta Vietnam Chu Duc Thinh 3-1 dan mengetepikan cabaran Alejo Prince Izmen Louis Escover dari Filipina 10-3 untuk mara ke saingan akhir.

Pada Rabu, dua emas Malaysia dalam acara karate disumbangkan pendatang baharu, H Sureeya Sankar dan C Shahmalarani masing-masing dalam acara kumite 67kg lelaki dan kumite 50kg wanita.

Kali terakhir atlet karate negara meraih emas hatrik pada temasya Sukan SEA ialah R Puvaneswaran yang memenanginya pada edisi 2005, 2007 dan 2009.

Kejayaan Sharmendran sekali gus menyaksikan pasukan karate Malaysia mencapai sasaran tiga emas di Hanoi dengan berbaki satu hari lagi pertandingan.

Sharmendran berkata, Sukan SEA kali ini adalah pertandingan pertamanya selepas menjalani pembedahan pada lutut kanan dan terpaksa berehat kira-kira lapan bulan.

"Saya hanya mempunyai tempoh enam minggu sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA bagi mempertahan pingat emas.

"Keyakinan saya semakin tinggi untuk meraih emas selepas menewaskan peserta tuan rumah pada pertarungan pembukaan,” katanya yang menjalani pembedahan pada pertengahan 2021 selepas kembali menyertai aksi kelayakan Sukan Olimpik di Paris.

Sementara itu, dua pingat gangsa disumbangkan Amirah Syahirah Azlan dalam acara kumite bawah 68kg wanita dan pasukan kata wanita menerusi Lim Hui Ling, Chang Sin Yi dan Khaw Yee Voon. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!