Perjalanan Harimau Muda terhenti separuh akhir

Pemain negara Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) mengawal bola ketika menentang pasukan Vietnam pada saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Viet Tri malam ini.
Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan selepas terikat 0-0.
-- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Pemain negara Malaysia, Luqman Hakim Shamsudin (kiri) mengawal bola ketika menentang pasukan Vietnam pada saingan Sukan SEA 2021 di Stadium Viet Tri malam ini. Perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan selepas terikat 0-0. -- fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

HASRAT pasukan bola sepak bawah-23 (B-23) untuk mara ke perlawanan akhir acara bola sepak temasya Sukan SEA Hanoi 2021 tidak kesampaian selepas tewas kepada tuan rumah Vietnam 1-0 sebentar tadi.

Pada aksi yang berlangsung Stadium Viet Tri di wilayah Phu Tho, pengendali Harimau Muda, Brad Maloney membariskan kesebelasan terbaik dengan kapten pasukan Mukahiri Ajmal kembali disenaraikan selepas direhatkan ketika menentang Kemboja tempoh hari.

Permainan dilihat seimbang pada 10 minit pertama dengan kedua-dua pasukan saling bertukar hantaran dan serangan.

Anak buah Maloney mempunyai peluang untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-17 melalui pemain tengah Nik Akif Syahiran, namun voli yang dilakukan pemain kelahiran Kelantan itu berjaya diselamatkan penjaga gol Vietnam, Le Van Xuan.

Vietnam juga dilihat berpeluang untuk memimpin perlawanan pada minit ke-27 selepas penyerangnya Nguyen Tien Ling berjaya melepasi perangkap ofsaid, namun gagal untuk membolosi gawang Malaysia yang dijaga rapi oleh Azri Ghani.

Anak buah Park Han Seo sekali lagi hadir menguji benteng pertahanan Malaysia pada minit ke-41 melalui rembatan Tien Linh, namun mujur bola muntah yang diselamatkan Azri berjaya dikeluarkan pemain Malaysia untuk kedudukan seri 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Malaysia dilihat lebih mengamalkan corak bertahan berbanding Vietnam yang dilihat lebih ghairah untuk mencari gol pendahuluan.

Vietnam yang acapkali melakukan serangan ke arah kubu Malaysia berjaya mendapat peluang terbaik pada minit ke-65 melalui Thien Linh, namun mujur pertahanan negara Azrin Afiq berjaya melakukan bentesan kemas bagi mengelak gawang Harimau Muda dibolosi.

Pemain gantian yang dibawa masuk Safwan hampir-hampir membolosi gawang Vietnam, namun tandukannya pada minit ke-83 hanya melepasi palang gol sekaligus menyaksikan masih tiada sebarang gol terhasil yang memaksa perlawanan dibawa ke masa tambahan.

Memasuki masa tambahan, Vietnam langsung tidak menunjukkan sebarang tanda kepenatan apabila masih meneruskan corak permainan tambahan, namun masih gagal membolosi gawang Malaysia pada separuh masa pertama masa tambahan.

Gol yang dinantikan skuad naga emas itu akhirnya hadir pada minit ke 110 menerusi Tien Linh yang menanduk masuk gol kemenangan Vietnam.

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia masih gagal untuk menamatkan kemarau pingat emas acara bola sepak di Sukan SEA sejak kali terakhir memenanginya pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Malaysia akan bertemu Indonesia bagi aksi penentuan tempat ketiga pada Ahad ini di Stadium Nasional Mydinh.