Sila log masuk terlebih dahulu.

Pemansuhan AP bukan langkah tergesa-gesa

Shahril Sufian Hamdan
Shahril Sufian Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemansuhan permit import (AP) komoditi agromakanan bagi membantu mengurus cabaran dalam melonggarkan cengkaman kartel bukan langkah tergesa-gesa.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, ia membolehkan sesiapa sahaja dalam pasaran tempatan untuk mengakses sumber pasaran luar alternatif bagi memastikan negara terhindar dari terputusnya stok bahan mentah makanan.

Tambahnya, kerajaan juga sudah mempunyai Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) bagi membincang dan melaporkan maklumat terkini termasuklah berkenaan isu kenaikan harga barang makanan, punca-punca dan langkah-langkah yang boleh diambil.

“Ini membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

“Selain faktor global yang menjadi punca terbesar, ternyata antara faktor lokal yang perlu dan boleh ditangani ialah soal kartel yang mengawal pasaran.

“Jika benar Datuk Seri Salahuddin juga mahukan harga barang terkawal dan memperjuangkan sekuriti makanan, seharusnya beliau menyokong usaha ini dan bukan melabelnya sebagai populis atau tergesa-gesa.

“Jauh sekali untuk menambah satu lagi jawatankuasa mengkaji perkara sama, kerana tidak berani bertindak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, AP bekalan makanan tidak lagi diperlukan berkuat kuasa serta-merta dan keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu bagi memastikan bekalan makanan di dalam negara mencukupi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyelar langkah memansuhkan AP agromakanan (kecuali beras) yang diumumkan Perdana Menteri pada Rabu sebagai langkah populis dan dibuat dengan tergesa-gesa sebaliknya beliau minta ditubuhkan jawatankuasa untuk buat kajian sebelum mengambil langkah ini.

Dalam pada itu, Shahril berkata, isu kedaulatan makanan merupakan isu teras yang memerlukan penyelesaian menyeluruh.

Tambahnya, kerajaan bukan hanya melakukan satu langkah seperti pemansuhan AP, dan Perdana Menteri juga tidak pernah mendakwa bahawa ia dengan sendirinya boleh menyelesaikan semua cabaran yang sedang dihadapi.

“Pengumuman terbaru ini berdiri di samping pelbagai lagi dasar dan bantuan yang perlu terus dilaksana dan diperbaharui bagi menjamin bekalan makanan selain membela pengusaha tempatan supaya keluaran dalam negara dapat dirancakkan.

“Malah, selain pelbagai subsidi dan kawalan harga yang pernah diumumkan sebelum ini, semalam juga, PM mengumumkan bantuan RM200 selama enam bulan untuk pesawah,” ujarnya.

Tegas beliau, isu yang membelenggu seluruh dunia ialah kenaikan harga makanan dan setiap negara akan bertindak dengan kaedah masing-masing untuk meminimumkan impak.

“Ke arah itu, langkah terbaru kerajaan wajar dilihat dari kanta positif sebagai tindakan tegas cuba melaksanakan segala langkah yang mampu sebagai responsif kepada situasi semasa,” jelasnya.