X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Saya mohon maaf atas kelemahan diri'

Muhammad Azeem diarahkan pegawai pertandingan meninggalkan trek selepas melakukan 'false start' separuh akhir acara 100m lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam pada Rabu.
A
A

PELARI pecut muda negara, Muhammad Azeem Fahmi memohon maaf atas kesilapannya melakukan ‘false start’ atau salah mula pada separuh akhir acara 100 meter (m) lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam pada Rabu.

Atlet berusia 18 tahun itu, menerusi media sosialnya, turut mengakui dia terlalu kecewa sehingga tidak dapat mengawal emosinya selepas penyertaannya dibatalkan di Stadium Nasional My Dinh.

"Pertama sekali saya ingin memohon maaf atas kelemahan diri yang tidak berjaya mengawal emosi ketika disingkirkan tadi. Terlalu kecewa dengan diri sendiri yang tak mampu memulakan larian atas faktor 'false start'.

"Saya minta maaf kepada sesiapa yang terkena tempias ‘emosi’ saya ketika di stadium. Insya-ALLAH berkat doa-doa kalian akan membawa saya ke arah kejayaan yang lebih berharga di masa akan datang. Terima kasih Malaysia,” menurut catatannya di Instagram.

Muhammad Azeem yang diberi julukan ‘Usain Bolt Malaysia’ itu, dilihat terlalu kecewa dan tidak dapat mengawal emosinya selepas disingkirkan daripada larian separuh akhir kedua.

Bagaimanapun, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menjelaskan bahawa penjelasan pengadil dan pegawai teknikal (TD), selepas pemeriksaan laporan peralatan teknikal membuktikan bahawa Muhammad Azeem memang membuat kesilapan tanpa disedarinya.

Beliau berkata, waktu reaksi Muhammad Azeem 0.058 saat lebih awal sebelum pistol pelepasan dibunyikan dan kakinya tidak menjejak blok permulaan ketika tembakan pistol.

Dengan seorang lagi wakil negara, Muhammad Arsyad Md Saat mengalami kecederaan pangkal paha ketika separuh akhir pertama dan menamatkan saingan final pada kedudukan keenam dengan catatan 10.69s menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan gelaran ‘Raja Pecut Asia Tengara’.

Pelari berusia 16 tahun yang digelar ‘Thai Wonderkid’ Puripol Boonson muncul Juara Pecut Asia Tenggara dengan catatan 10.44 saat (s) manakala rakan sepasukannya, Soraoat Dapbang (10.56s) meraih perak dan Marc Brian Louis dari Singapura membawa pulang gangsa (10.56s) berdasarkan ‘photo finish’.

Untuk rekod, Malaysia mengungguli acara riben biru itu bagi dua edisi sebelum ini menerusi Khairul Hafiz Jantan pada 2017 di Kuala Lumpur dan Muhammad Haiqal Hanafi di Filipina pada 2019. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!