Tangkak perlu dijadikan pusat pelancongan antarabangsa

Daerah Tangkak yang terkenal dengan aktiviti eko pelancongan perlu dijadikan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.
Daerah Tangkak yang terkenal dengan aktiviti eko pelancongan perlu dijadikan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.
A
A
A

TANGKAK - Daerah Tangkak yang terkenal dengan aktiviti eko pelancongan perlu dijadikan pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Mount Ophir atau lebih dikenali sebagai Gunung Ledang di daerah ini bukan sahaja mampu menarik pelancong malah dapat menjana ekonomi penduduk sekitar.

"Saya yakin kemudahan pelancongan ini akan mampu memberikan pulangan ekonomi kepada penduduk sekitar khususnya dalam melalui tempoh fasa endemik,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata, beberapa pembangunan berimpak tinggi akan dilaksanakan di daerah itu tidak lama lagi termasuk menaik taraf infrastruktur di Gunung Ledang.

Selain itu, katanya, projek Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail (TMIYC), Rumah Mampu Biaya Johor, sebuah pusat pentadbiran baharu bagi Tangkak, rancangan tebatan banjir dan Pusat Perindustrian Gambir akan turut dilaksanakan.

Menerusi hantaran itu, Onn Hafiz berkata, beliau menyampaikan sumbangan Bantuan Kasih Bangsa Johor kepada 359 penerima ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri peringkat agensi dan jabatan Daerah Tangkak pada Khamis.

Beliau turut menyerahkan geran sekali beri kepada Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Ledang sebanyak RM10,000. - Bernama