X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Juruteknik maut tersepit mesin

Mangsa ditemui dalam keadaan tersepit pada bahagian tail drum conveyor. - Foto JKKP Perak
A
A

IPOH - Seorang juruteknik maut akibat cedera parah selepas tersepit pada mesin conveyor di sebuah kilang simen di Gopeng pada Khamis.

Ketika kejadian sekitar jam 9.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Hilmi Badrul Hisham, 20, dilaporkan sedang bersedia bagi menjalankan kerja penyelenggaraan.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tersepit pada bahagian tail drum conveyor oleh rakan sekerjanya.

Menurutnya, menyedari kejadian itu, rakan sekerja mangsa telah membantu mengeluarkannya sebelum dihantar ke Hospital Kampar menggunakan ambulans syarikat.

"Mangsa yang dibawa ke hospital disahkan telah meninggal dunia oleh doktor perubatan.

"Sepasukan pegawai telah dihantar ke kilang berkenaan untuk menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa diarahkan untuk siap siaga di kawasan Coal Conveyor Belt sebelum memulakan kerja penyelenggaraan.

Katanya, susulan itu JKKP telah menyita dan mengeluarkan larangan kacau ganggu terhadap jalur sistem conveyor tersebut sehingga siasatan lanjut dan tindakan penambahbaikan diambil oleh majikan.

"JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994," katanya.

Supian berkata, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

Jelasnya, majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja dan bertanggungjawab untuk mengenalpasti terlebih dahulu bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

"Langkah ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelakkan berlakunya kemalangan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!