X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Sukan SEA: Aniq Kasdan raih gangsa, cipta rekod baharu kebangsaan

Aniq Kasdan beraksi dalam acara snatch, clean and jerk 55kg lelaki pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Hanoi Sports Training Centre pada Khamis. Foto: Bernama
A
A

ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan berjaya membawa pulang pingat gangsa selepas mencatatkan satu rekod baharu kebangsaan bagi acara 55kg lelaki pada Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam.

Atlet berusia 20 tahun dari Segamat Johor itu berjaya membuat angkatan berjumlah 252 kilogram (kg) untuk menduduki tempat ketiga di Pusat Latihan dan Pertandingan Sukan Hanoi di sini, selepas menduduki tempat kelima ketika penyertaan kali pertamanya di Sukan SEA Filipina 2019.

Angkatan 252kg itu memadamkan rekod lama 249kg, yang beliau lakukan ketika menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat di Kejohanan Angkat Berat Dunia, dengan memenangi pingat perak acara ‘clean and jerk’ dengan angkatan 142kg, dan menduduki tempat kelima keseluruhan.

Hari ini beliau memulakan acara ‘snatch’ dengan melakukan angkatan 105kg dan 110kg, namun gagal menyempurnakan angkatan 115kg pada cubaan ketiga dan terakhir.

Sementara dalam ‘clean and jerk’ Mohamad Aniq melakukan angkatan 139kg, dan 142kg, namun gagal dalam cubaan mengangkat 147kg pada cubaan ketiga.

Angkatan peribadi terbaik Mohamad Aniq bagi acara snatch ialah 120kg, manakala dalam ‘clean and jerk’, beliau pernah mengangkat sehingga 150kg.

"Edisi lepas tidak dapat pingat, kali ini saya dapat meningkatkan prestasi bagi menghadiahkan pingat bagi Malaysia. Saya berharap selepas ini saya dapat meningkatkan lagi prestasi untuk beraksi dengan baik di Sukan Komanwel Birmingham (Julai) dan Sukan SEA Kemboja tahun depan.

"Kemenangan ini memberikan keyakinan bagi saya beraksi di kejohanan luar dan membuat angkatan yang lebih baik,” katanya kepada media selepas majlis penyampaian hadiah.

Beliau berkata, selepas Sukan SEA 2019, beliau tidak menyertai banyak kejohanan disebabkan COVID-19, kerana beliau satu-satunya peserta untuk kategori 55kg di Kejohanan Kebangsaan di Kuala Rompin pada Oktober, dan kemudiannya menyertai Kejohanan Dunia.

Sementara itu atlet tuan rumah Lai Gia Thanh mengekalkan pingat emas dengan rekod kejohanan yang baharu untuk ‘clean and jerk’ dengan angkatan 148kg, dan rekod keseluruhan dengan 268kg (120kg dalam snatch), manakala atlet Thailand Thada Somboon-uan, menang perak dengan angkatan 256kg keseluruhan.

Ketika kategori 55kg buat pertama kalinya dipertandingkan di Sukan SEA Filipina, yang merupakan satu kilogram kurang daripada kategori sebelum ini iaitu 56kg, Lai mengangkat 122kg dalam snatch, dan 142kg bagi ‘clean and jerk’ untuk keseluruhan angkatan 264kg. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!