Penerima MYCRS digesa beli kerusi keselamatan kanak-kanak

Penerima digalakkan membuat pembelian seawal mungkin dalam tempoh dua bulan dari tarikh kelulusan permohonan bagi mengelak kehabisan kuota subsidi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak. Gambar hiasan
Penerima digalakkan membuat pembelian seawal mungkin dalam tempoh dua bulan dari tarikh kelulusan permohonan bagi mengelak kehabisan kuota subsidi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penerima yang telah disenarai layak menerima subsidi di bawah Program Subsidi Kerusi Keselamatan Kanak-Kanak Keluarga Malaysia (MyCRS) digesa supaya segera membeli kelengkapan itu.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan sehingga kini, jumlah penerima yang layak adalah 231,012 daripada 427,798 pemohon, melebihi 20 peratus daripada sasaran asal jumlah penerima subsidi iaitu 188,000 penerima.

Menurut MIROS peruntukan subsidi berjumlah RM30 juta adalah terhad kepada 188,000 penerima sahaja dengan seorang penerima hanya layak menuntut subsidi bagi satu unit kerusi keselamatan kanak-kanak.

"MIROS ingin membuat peringatan kepada para penerima yang telah disenarai layak untuk segera membeli kerusi keselamatan kanak-kanak ini di 240 kedai bertauliah yang didaftarkan di seluruh negara secara terus di premis kedai atau pembelian dalam talian dengan kadar segera kerana subsidi ini diberikan berdasarkan pembelian dan bukan berdasarkan kelayakan,” menurut kenyataan itu.

Senarai kedai berdaftar serta semakan semula status kelayakan permohonan boleh dibuat menerusi laman sesawang www.mycrs.gov.my.

Kenyataan itu menyebut sekiranya permohonan masih tiada dalam senarai layak, pemohon boleh mengemukakan rayuan melalui pautan https://form.jotform.com/MIROS_mycrs/borang-rayuan-mycrs.

Menurut kenyataan itu, penerima digalakkan membuat pembelian seawal mungkin dalam tempoh dua bulan dari tarikh kelulusan permohonan bagi mengelak kehabisan kuota subsidi. - Bernama