X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Jakim tidak berkompromi dengan sijil halal

Datuk Idris Ahmad
A
A

BUKIT GANTANG - Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak akan berkompromi dengan pensijilan halal dan akan bertindak sewajarnya apabila menerima maklumat termasuk menggantung kilang atau loji pembuatan makanan untuk siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, tindakan itu perlu memandangkan pensijilan halal Malaysia antara yang dihormati di seluruh dunia.

"Kerana itu kita serius dan tidak main-main mengenai halal. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa baru-baru ini Jakim menggantung sebuah dari 16 loji yang ada di bawah pemantauan Jakim untuk siasatan,” katanya dalam sidang media pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) mukim Trong dekat sini pada Khamis.

Pada 14 Mei, Jakim menggantung kelulusan loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal, Australia berkuat kuasa serta-merta, sehingga hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pada masa sama Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA), selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu, akan diberi surat tunjuk sebab dan berdepan dibatalkan status badan pensijilan halal, sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Tindakan itu dibuat selepas seorang lelaki dikenali sebagai ‘the Hood Man’ atau Abdullah, membuat pendedahan bahawa loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

Idris berkata, pihaknya akan menghubungi orang yang membuat laporan tersebut untuk mendapatkan maklumat lengkap.

"Penyebar video itu menggunakan nama samaran Abdulllah. Dia ada nama lain, dia dari Somalia. Kita juga sedang menghubunginya untuk mendapatkan maklumat lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengenai jemaah haji, Idris berkata, Tabung Haji telah membuat panggilan kedua pada 10 Mei lalu, untuk jemaah yang layak ke Tanah Suci nanti.

"Bagaimanapun jumlah panggilan itu saya tidak pasti, kerana panggilan itu berdasarkan mereka yang menolak tawaran daripada panggilan pertama yang ditutup pada 9 Mei lalu,” katanya.

Menurutnya, penerbangan pertama yang dijangka pada 31 Mei ini kemungkinan akan ditunda antara 3 hingga 4 Jun depan, kerana kekurangan pesawat dan perkara ini akan dikemas kini kemudian.

Malaysia memperoleh kuota 14,306 orang untuk menunaikan haji tahun ini. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!