Perkasa ekosistem pengurusan sukan tangani rasuah

Wirdati dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau Menang, Rasuah yang Menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Wirdati dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau Menang, Rasuah yang Menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Pengerusi Panel Penasihat Undang-undang dan Tadbir Urus Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Dr Wirdati Mohd Radzi berpandangan bahawa ekosistem dalam pengurusan sukan perlu dilihat semula bagi menangani isu rasuah membabitkan pengaturan perlawanan dalam sukan negara.

Ujar beliau, kerajaan serta persatuan sukan negara perlu melihat contoh-contoh daripada liga profesional sukan di luar negara.

Wirdati berkata, liga-liga profesional berkenaan tidak semestinya terbaik dalam berdepan dengan gejala rasuah namun berjaya dikurangkan kerana mempunyai sistem pengurusan tadbir yang baik serta lebih tersusun.

“Selain itu, ia juga memberi maklumat jelas kepada pemain dan juga semua pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam industri itu untuk beroperasi dengan cara lebih adil kerana selalunya bila timbul rasa tidak puas hati ataupun tidak cukup ia akan menjadi motivasi kepada perkara-perkara seperti (rasuah) ini berlaku.

“Jadi pada saya, apa yang nak dikongsikan adalah hak milik sukan itu adalah milik persatuan. Jadi persatuan perlu menjaga integriti dan memastikan semua pembangunan sukan yang berkembang, itu tanggungjawab persatuan.

“Tetapi ia perlu dibantu oleh sektor awam seperti pihak-pihak berwajib, kerajaan dan juga sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau Menang, Rasuah yang Menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut menampilkan Pengulas Sukan, Abu Bakar Atan; bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar; manakala Fiza Sabjahan bertindak sebagai moderator.