‘Utama maruah negara berbanding kepentingan diri’ - Azlan

Azlan
Azlan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemain-pemain sukan negara perlu mengutamakan maruah negara terlebih dahulu berbanding kepentingan diri.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar berkata, segala tindakan terletak pada pemain itu sendiri, dan mereka perlu membuat keputusan tegas sekiranya didatangi oleh pihak yang cuba memanipulasikan keadaan sesuatu perlawanan.

“Mereka harus bertindak berani, berjumpa dengan pihak yang bertanggungjawab seperti mana yang saya buat dahulu, saya berjumpa dengan jurulatih saya, memaklumkan kepada beliau yang saya telah ditawarkan untuk mengetuai dan menawarkan kepada pemain rakan-rakan saya untuk memastikan perlawanan itu gagal.

“Jadi di sini, itulah tugas pertama yang perlu dilakukan oleh pemain walaupun mereka terpaksa menerima tindakan tidak dimainkan (dalam pasukan) atau tidak diletakkan sebagai kesebelasan utama.

“Tetapi saya rasa itu adalah satu perkara yang penting bagi pemain lakukan kerana integriti dia sebagai seorang pemain adalah lebih penting dan maruah negara perlu diletakkan lebih dahulu berbanding kepentingan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau Menang, Rasuah yang Menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut menampilkan Pengulas Sukan, Abu Bakar Atan; Naib Pengerusi Panel Penasihat Undang-undang dan Tadbir Urus Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Dr Wirdati Mohd Radzi; manakala Fiza Sabjahan bertindak sebagai moderator.