X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Tiada arahan pegawai atasan untuk Sirul Azhar keluarkan senjata api'

Kes Altantuya Shaariibuu.
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi yang mendengar saman keluarga wanita warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu pada Khamis diberitahu bahawa tiada arahan daripada mana-mana pegawai atasan supaya bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar mengeluarkan senjata api dari tempat simpanan di Bukit Aman pada 2006.

Supt Tonny Anak Lunggan, 42, pegawai penyiasat dalam kes bunuh wanita itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan, Zetty Zurina Kamarudin pada prosiding kes saman RM100 juta difailkan bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev Shaariibuu dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda serta kerajaan Malaysia.

"Ya, saya setuju tiada arahan daripada mana-mana pegawai atasan untuk Sirul Azhar mengeluarkan senjata itu," kata saksi ke-26 berkenaan.

Dalam pernyataan saksinya, Tonny berkata, senjata bernombor siri S98756 berdaftar di dalam Buku Daftar Keluar dan Masuk Senjata, tertulis pangkat Koperal 125591, nombor polis Sirul Azhar dan jenis senjata yang tertulis di ruangan buku daftar itu adalah jenis MP 5 (S).

Berdasarkan buku daftar itu, Tonny berkata, senjata yang sama telah dikeluarkan pada 4 Oktober 2006 dan dikembalikan pada jam 8.15 pagi, 30 Oktober tahun sama serta ia dinyatakan di ruangan 'masuk' buku daftar itu.

Tonny yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman, bersetuju dengan cadangan Zetty Zurina bahawa tiada mana-mana rakaman percakapan saksi yang menyatakan Sirul Azhar dan Azilah terlibat di dalam tugas khas dan sulit pada 2006 dan tiada arahan daripada mana-mana pegawai atasan bahawa mereka terlibat dalam tugas berkenaan.

Kepada soalan peguam Manjeet Singh Dhillon, saksi itu menafikan bahawa beliau hanya membuat anggapan berhubung penglibatan Razak Baginda (Abdul Razak) berkenaan kematian Altantuya.

Disoal semula oleh peguam keluarga Altantuya, Sangeet Kaur Deo, saksi itu bagaimanapun menjelaskan cadangan untuk menuduh Razak Baginda atas tuduhan bersubahat membunuh Altantuya dibuat selepas siasatan secara menyeluruh dijalankan.

"Ia (pertuduhan subahat membunuh) dibuat berdasarkan bukti yang diperoleh melalui rakaman percakapan saksi-saksi dan keterangan pakar. Selepas itu, baru boleh dirumuskan sedemikian. Ia bukannya dibuat berdasarkan andaian," jelas Tonny.

Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta terhadap Azilah, Sirul Azhar, Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.

Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersambung pada Jumaat. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!