X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Zah dinobat Tokoh Guru Negeri Terengganu 2022

Zah (tiga dari kanan) bersama Mohd Zubir (empat dari kiri) selepas menerima anugerah yang disampaikan Ahmad Samsuri pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 pada Khamis.
A
A

KUALA NERUS - Bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Zah Mohamad, 63, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu 2022.

Pemilihan Zah diumumkan pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Melalui anugerah tersebut, beliau menerima hadiah berupa selempang, pingat, sijil penghargaan, persalinan songket, telekung, plak, jam tangan dan wang RM5,000 yang disampaikan Ahmad Samsuri.

Menurut Zah, Anugerah Tokoh Guru Negeri Terengganu merupakan satu pengiktirafan besar buatnya selepas 35 tahun mengabdikan diri dalam dunia pendidikan.

"Dalam mendidik, saya berpegang kepada prinsip ikhlas ketika mengajar barulah keberkatan akan datang dan jika saya marah pelajar, itu adalah marah seorang ibu kepada anaknya," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Zah, lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu dan Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM) memulakan karier sebagai guru pada tahun 1984 dan ditugaskan mengajar di SMK Agama Tok Jiring.

Ibu kepada empat cahaya mata itu kemudian menamatkan perkhidmatan pada 1 Februari 2019 dan kini bergiat aktif dalam aktiviti khidmat sosial, kemasyarakatan dan badan bukan kerajaan.

"Selepas bersara, saya ada menulis beberapa buku dan kini sedang menyiapkan sebuah buku berkaitan aspek pengurusan dan pentadbiran dalam bidang pendidikan," katanya.

Dalam majlis itu, sebanyak 40 anugerah dalam pelbagai kategori disampaikan termasuk Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan diberikan kepada bekas Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd Zubir Embong.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!