Persembahan sepenuh jiwa Manchester City

Pep Guardiola
Pep Guardiola
A
A
A

PENDAHULU Manchester City akan memberikan sepenuh jiwa bagi mengekalkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila penyandang juara itu melayan kunjungan Aston Villa dalam perlawanan terakhir liga di Stadium Etihad pada Ahad.

Malah menurut pengendali Manchester City, Pep Guardiola, para pemain pasukannya juga tidak akan membiarkan sebarang elemen negatif di luar dan dalam padang menjejaskan tumpuan dalam melindungi keberadaan mahkota liga utama Inggeris itu di kabinet The Citizens.

Tegas Guardiola lagi, misi tiga mata ke atas kelab kendalian Steven Gerrard tersebut merupakan keutamaan paling tinggi buat kelab yang selepas mengharungi saingan sengit yang penuh ranjau sehingga penghujung musim.

"Saya boleh memberi jaminan kepada anda sesuatu - bahawa para pemain Manchester City akan memberikan persembahan sepenuh jiwa yang terbaik pada musim ini ketika menentang Aston Villa.

“Ini merupakan peluang terbaik dan luar biasa untuk para pemain The Citizens menyatakan terima kasih dan penghargaan kepada penyokong-penyokong yang berpeluang menyaksikan pasukan menjulang trofi kejuaraan di laman sendiri.

"Ya, kami teruja untuk berdepan dengan Aston Villa, kerana kelebihan masih berpihak kepada Manchester City berbanding Liverpool yang begitu terdesak untuk memenanginya, sebaliknya kami tenang mengharungi saingan," katanya.

Kejuaraan liga teratas Inggeris itu terpaksa ditentukan pada perlawanan terakhir Ahad ini selepas Manchester City yang memimpin takhta hanya dipisahkan satu mata mengatasi pesaing terdekat Liverpool selepas masing-masing mengharungi 37 perlawanan.

Aston Villa kendalian Steven Gerrard boleh memainkan peranan penting dalam penentuan perebutan kejuaraan apabila bertandang ke Manchester City yang memerlukan tiga mata.

Hanya kemenangan akan menjulang kembali kelab kendalian Guardiola kerana Liverpool dijangka tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Wolves di Anfield dalam perlawanan terakhir mereka