PGA rampas 4.29 juta batang rokok seludup

Muhamad Zaki (kanan) bersama Ismail (kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang berjaya dirampas di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis.
Muhamad Zaki (kanan) bersama Ismail (kiri) menunjukkan sebahagian daripada rokok seludup yang berjaya dirampas di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu berjaya merampas 429 kotak yang mengandungi 4.29 juta batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, rampasan rokok itu dilakukan selepas PGA menerima maklumat berkait aktiviti penyeludupan barangan berkenaan pada jam 3.30 pagi.

"Semasa serbuan dilakukan anggota bertugas mendapati pintu hadapan premis berkenaan tidak berkunci. Pemeriksaan yang dilakukan di dalam premis berkenaan telah menjumpai kotak-kotak berwarna coklat," katanya semasa sidang akhbar di Markas Taktikal (Martek) PGA di Lubok Stol pada Khamis.

Hadir sama Pegawai Pemerintah Medan Batalion 9 PGA, Deputi Superintendan Ismail Sidek.

Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan rokok-rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan rokok-rokok seludup pelbagai jenama bernilai lebih RM3.2 juta di sebuah rumah kedai di Kampung Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak itu membawa kepada penemuan pelbagai jenama rokok putih yang dipercayai diseludup masuk ke negara ini secara haram.

Beliau berkata, selepas satu jam menunggu dan tiada individu yang tampil membuat tuntutan pihaknya telah membawa kesemua barangan rampasan itu ke Martek Lubok Stol untuk tindakan lanjut.

"Kita tidak menolak kemungkinan kesemua rokok-rokok ini untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan.

"Berpandukan kepada maklumat yang diperoleh, kita mendapati penyeludup telah mengubah modus operandi susulan kawalan ketat di kawasan sempadan dengan menjadikan rumah atau premis sebagai tempat transit barangan seludup.

"Siasatan lanjut akan diteruskan untuk mengenal pasti dalang sebenar di sebalik aktiviti penyeludupan rokok ini," ujarnya.