Gejala rasuah dalam sukan masih terkawal

Abu Bakar dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau menang, rasuah yang menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Abu Bakar dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau menang, rasuah yang menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gejala rasuah dalam arena sukan terutama dari segi mengatur perlawanan dilihat masih terkawal di negara ini.

Pengulas sukan, Abu Bakar Atan berkata, sejarah aktiviti rasuah melibatkan pengaturan perlawanan sukan bola sepak negara berlaku sejak tahun 80-an dan 90-an lagi.

Bagaimanapun katanya, kes rasuah yang membelenggu industri sukan telah pun berkurangan dan dianggap hanya tinggal saki-baki isu yang melibatkan gejala rasuah dalam permainan bola sepak.

“Berbalik kepada apa yang berlaku pada pemain-pemain pasukan dalam Piala Presiden 2014, itu mungkin kita boleh anggap sebagai saki-baki daripada pembongkaran atau penangkapan pemain bola sepak beramai-ramai pada tahun 1994.

“Saya ingin mengatakan banyak kajian, jurnal dan usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu sendiri, banyak kita dapat ketahui sama ada benar, terbukti, atau wujud gejala rasuah dalam sukan, lebih tepat lagi mengatur perlawanan, (berada) dalam keadaan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kalah atau menang, rasuah yang menentukan’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program tersebut turut menampilkan Naib Pengerusi Panel Penasihat Undang-undang dan Tadbir Urus Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), Dr Wirdati Mohd Radzi dan pemain bola sepak kebangsaan, Azlan Johar, manakala Fiza Sabjahan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, walaupun gejala rasuah dalam sukan masih terkawal, langkah-langkah pemantauan daripada pihak berkuasa masih perlu dipertingkatkan termasuk pelan risikan yang harus dilakukan sehingga peringkat bawahan dari persatuan kebangsaan, kelab-kelab sukan dan sebagainya.

Ini kerana katanya, budaya rasuah dalam industri sukan itu sukar untuk diatasi selagi mana wujudnya aktiviti ‘online betting’ (perjudian dalam talian) di peringkat global.