X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tun M pertahan cadangan menambat ringgit

Mahathir
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus mempertahankan cadangannya berkenaan langkah menambat ringgit untuk menangani penyusutan mata wang negara meskipun idea tersebut tidak diterima pelbagai pihak termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Khamis, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau percaya langkah tersebut dapat memberikan kebaikan antaranya dalam menangani risiko kenaikan kos pengeluaran diakibatkan oleh peningkatan harga bahan mentah import dan pertambahan kos dihadapi pengimport.

Menurutnya, negara juga boleh mengelakkan aliran keluar pelabur asing yang berkemungkinan berlaku akibat penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

“Apabila Ringgit ditambat adakah ia akan menyebabkan aliran keluar pelaburan asing di Malaysia? Dari sedikit yang saya tahu tentang kewangan, aliran keluar pelaburan asing adalah disebabkan jangkaan susut nilai Ringgit atau saham yang selanjutnya.

“Apabila Ringgit ditambat, tiada lagi susut nilai berbanding dolar. Nilai pelaburan mereka dijamin, tiada keperluan untuk mengeluarkan pelaburan mereka,” katanya.

Ringgit dilaporkan terus merosot pada Khamis apabila dibuka paras RM4.4 berbanding dolar AS, terendah sejak Mac 2020 berikutan pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah selain mengetatkan dasar monetarinya.

Pada 13 Mei lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, dasar menambat ringgit berbanding dolar AS bukan langkah terbaik demi kepentingan negara dalam persekitaran semasa yang mencabar.

Nor Shamsiah dilaporkan berkata, dasar tukaran asing yang fleksibel mampu menyerap kejutan ekonomi dan memelihara daya saing Malaysia dalam persekitaran kewangan global.

Jelas Nor Shamsiah, kelemahan ringgit ketika ini didorong oleh faktor luaran seperti kadar faedah yang tinggi di AS dan ketidaktentuan di China.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, dasar tersebut jika dilakukan dijangka dapat memastikan kemapanan anggaran belanjawan oleh kerajaan.

Menurut beliau, Bank Pusat juga sepatutnya mempunyai jumlah dolar yang mencukupi untuk dijual pada kadar yang ditambat iaitu RM3.80 setiap dolar AS sekiranya pengimport mahu membeli sesuatu dalam mata wang tersebut.

“Pada tahun 1998, Bank Negara mempunyai rizab yang kurang. Kami tidak tahu sama ada rizab itu dipegang secara tunai dan jika dalam bentuk tunai, dalam mata wang apa. Namun, kami dapat menukar ringgit kepada dolar AS untuk membayar dalam dolar.

“Saya percaya sekarang Bank Pusat mempunyai lebih banyak rizab dalam dolar AS. Pendapatan dalam dolar AS hendaklah disimpan dengan Bank Negara, sebagai pertukaran kepada ringgit. Seharusnya tidak ada kekurangan dolar AS apabila diperlukan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan punca menyebabkan cadangannya untuk menambat ringgit itu masih tidak diterima.

“Saya hanya ingin tahu. Kita mempunyai lebih banyak simpanan dan rizab sekarang berbanding tahun 1997 dan 19988. Namun saya diberitahu bahawa jika kita menambatnya (ringgit), kita mungkin muflis?

“Dan mereka juga tidak memberikan cadangan sebarang penyelesaian lain boleh dilakukan,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!