Mubarak bantu kempen PRK DUN Rantau

Abdul Aziz dan Nazri bergambar bersama ahli Mubarak selepas Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-17, kelmarin.
Abdul Aziz dan Nazri bergambar bersama ahli Mubarak selepas Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-17, kelmarin.
A
A
A

JERANTUT - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bersedia membantu jentera pilihan raya BN bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April depan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pihaknya akan bersama jentera parti berkempen bagi memastikan kemenangan mutlak milik BN.

Menurutnya,Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah mengesahkan bertanding bagi mengekalkan kemenangan di DUN Rantau.

"Kita bukan sahaja mahu melihat BN menang tetapi apa yang lebih penting adalah maruah Mohamad selaku Timbalan Presiden UMNO," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Mubarak Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-17, kelmarin.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah.

Abdul Aziz memberitahu, kemenangan Mohamad akan mengembalikan kepercayaan pengundi kepada UMNO setelah kita disingkirkan pada PRU14.

"Mubarak sentiasa bergabung dengan jentera pilihan raya tempatan untuk bekerjasama ketika menghadapi PRU dan PRK bagi memastikan calon BN menang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mubarak perlu bekerja keras terutama dalam memperkasakan agama dan penyatuan orang Melayu di semua kawasan.

"Kerjasama antara Pas dan BN merupakan platform terbaik untuk penyatuan ummah dan terbukti pada PRK di Cameron Highlands dan Semenyih," katanya.

PRK DUN tersebut diadakan semula selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Mohamad untuk membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu.

Mahkamah menetapkan kemenangan beliau tanpa bertanding pada PRU14 sebagai batal dan tidak sah.