Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 diwarta, dibuka untuk semakan

Tangkap layar kenyataan media SPR mengenai daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan media SPR mengenai daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 telah diperaku serta diwartakan pada Khamis dan kini dibuka untuk semakan selama satu bulan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, semakan itu boleh dibuat bermula 19 Mei hingga 17 Jun ini.

Menurutnya, daftar pemilih tambahan itu mengandungi nama bagi 40,201 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 April 2022 hingga 30 April ini yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Daripada jumlah itu, 9,972 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,669 orang pemilih bertukar status dan kategori pengundi.

“SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan http://my spr.spr.gov.my.

“Orang ramai juga boleh menyemak melalui aplikasi mudah alih MySPR Semak, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau melalui Hotline SPR di talian 03-8892 7018," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

SPR turut menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 April hingga 30 April ini dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN4/2022.

Jelas Ikmalrudin, sekiranya mereka mendapati nama tidak disenaraikan dalam daftar pemilih tambahan, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C secara dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

"Mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

"Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada ketika hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN4/2022.

"Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan daftar pemilih tambahan ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri," jelasnya.