Guna perkhidmatan awam, e-hailing jika mabuk

99.5 peratus pemandu yang ditahan di bawah pengaruh alkohol terdiri daripada lelaki.
99.5 peratus pemandu yang ditahan di bawah pengaruh alkohol terdiri daripada lelaki.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Orang ramai diberi amaran supaya tidak memandu kenderaan ketika di bawah pengaruh alkohol sebaliknya disaran menggunakan pengangkutan awam atau perkhidmatan e-hailing.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, seramai 759 pemandu mabuk ditahan di sini sejak Januari hingga 31 April lalu.

Menurutnya, pihak polis telah menahan 1,155 individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi sepanjang tahun lalu di seluruh ibu negara.

"Kami menjalankan sebanyak 150 operasi berkaitan pemandu mabuk sepanjang tahun lalu dan jumlah itu dipertingkatkan kepada 110 operasi bagi tempoh Januari hingga April lalu.

"Semua individu yang terbabit dalam operasi itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, sebanyak 99.5 peratus pemandu yang ditahan di bawah pengaruh alkohol terdiri daripada lelaki.

"Dalam usaha memastikan pemandu mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan, pihak polis khususnya JSPT menjalankan Op Mabuk setiap hari.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak minum minuman keras sekiranya mahu memandu.

"Gunakan khidmat pemandu e-hailing, teksi atau pengangkutan awam lain selain menumpang rakan yang tidak mabuk sekiranya berada di bawah pengaruh alkohol," ujarnya.