Malaysia mungkin guna cannabidiol dalam rawatan perubatan

Dr Noor Azmi Ghazali
Dr Noor Azmi Ghazali
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak akan menggunakan cannabidiol atau CBD dalam rawatan perubatan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, langkah itu boleh dilakukan sekiranya kajian yang dijalankan menunjukkan bukti klinikal (evidence based).

"Tidak mustahil kita juga menggunakannya untuk rawatan jika ia boleh memberi kebaikan," katanya pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Kajian Klinik di sini pada Khamis.

Menurutnya, penggunaan CBD dalam rawatan menjadi bualan pelbagai pihak selepas terdapat beberapa negara menggunakannya untuk merawat penyakit kronik.

"Di Malaysia kita belum boleh bergerak seperti negara luar kerana ia masih di peringkat awal dan KKM terbuka dalam ujikaji klinikal," katanya.

Beliau berkata, prosedur untuk melakukan kajian terhadap CBD akan memakan masa yang panjang berikutan terikat dengan undang-undang.

"Sekarang kanabis berada di bawah akta racun, jadi ada banyak yang perlu diselesaikan," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, langkah berhati-hati perlu dibuat bagi memastikan keselamatan terjamin.

"Tidak boleh lepas sewenang-wenangnya kerana kita bimbang sekiranya berlaku penyalahgunaan selain pemantauan kesan samping perlu dibuat," katanya.

Cannabidiol merupakan antara bahan aktif di dalam kanabis dan tidak menyebabkan ketagihan.

Kanabis atau nama saintifiknya cannabis, adalah tumbuhan daripada keluarga Cannabaceae.

Antara spesies pokok daripada genus cannabis ialah cannabis sativa, cannabis indica dan cannabis ruderalis.

Tumbuhan ini menghasilkan kompaun dipanggil cannabinoid dan difahamkan terdapat lebih 100 jenis cannabinoid di dalamnya, paling lazim ditemukan ialah CBD dan THC (Delta 9 tetrahydrocannabinol).

Bagaimanapun kadar kandungan CBD dan THC dalam setiap varieti tumbuhan itu adalah berbeza.

Marijuana misalnya, antara tumbuhan kanabis dengan kandungan THC yang sangat tinggi, berbeza dengan hemp yang langsung tidak mempunyai THC tetapi tinggi kandungan CBD.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar baru-baru ini dilapor berkata, pihak berkenaan boleh mengemukakan permohonan penggunaan kanabis untuk perubatan kepada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bagi dinilai dan didaftar sekiranya ada bukti saintifik mencukupi.