Keputusan kes bunuh CEO Cradle Fund pada 21 Jun

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tarikh baharu keputusan sama ada Samirah Muzaffar dan dua remaja dibebaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan ditetapkan Mahkamah Tinggi di sini pada 21 Jun.

Peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Samirah Muzaffar dan kedua-dua remaja tersebut berkata, pihaknya dihubungi oleh mahkamah tersebut pada 17 Mei lepas bagi memaklumkan tarikh baharu keputusan di akhir kes pendakwaan itu.

"Tarikh baharu untuk keputusan kes ditetapkan pada 21 Jun 2022, jam 9 pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan 30 Mei untuk keputusan tersebut.

Pada 14 Februari lepas, pihak pendakwaan menutup kes mereka selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak si mati, Dr Abdul Aziz, Dr Malek Reedzwan dan Che Elainee; Pengarah Jabatan Bomba Kuala Lumpur Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng; Dr Prashant Sanberker serta pengawal keselamatan kediaman si mati Raju Kumar Pandit.

Perbicaraan bermula pada 6 September 2019.

Samirah, 47, serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 19 dan 16 tahun dan seorang warga Indonesia yang masih bebas Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018. - Bernama