Perak tumpu kurangkan kadar keciciran murid: Saarani

Saarani
Saarani
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerajaan negeri Perak akan memberi tumpuan mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan seperti murid orang asli dan peribumi, murid berkeperluan khas dan kanak-kanak tanpa dokumen mendapat pendidikan sewajarnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia bagi memastikan golongan berkenaan turut menerima pendidikan seperti murid lain.

"Di samping itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan negeri telah menyediakan pelbagai peruntukan khas dengan memberi bantuan peranti dan kemudahan internet kepada murid B40 semasa tempoh pandemik Covid-19 bagi membolehkan mereka meneruskan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

"Anak-anak haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Perak Tahun 2022 bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' di Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Saarani berkata, guru perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dalam melaksanakan tugas daripada biasa kepada luar biasa, berdaya saing, futuristik dan berfikiran aras tinggi serta berfikiran kelas dunia.

"Bagi menterjemahkan semua dasar dan aspirasi negara melalui pendidikan tahap tinggi sejajar dengan transformasi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan, bagi menghasilkan persekitaran sekolah berkualiti seterusnya memastikan kemenjadian murid berdasarkan kepada potensi sebenar mereka.

"Oleh itu, untuk mencapai hasrat ini guru-guru mestilah memiliki kompetensi yang tinggi dalam pelbagai aspek terutama dalam pengajaran dan pembelajaran, mengamalkan budaya penyayang dan menjadi suri teladan agar dapat melahirkan murid yang kalis masa hadapan," katanya.

Saarani berkata, guru juga perlu mempunyai hasrat yang tinggi bagi memastikan setiap anak bangsa mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir aras tinggi, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025).

Menurutnya, ia bagi melahirkan insan yang bakal menerajui negara ke arah negara maju yang sejahtera, berinovasi dan berdaya saing dalam pelbagai bidang di peringkat global.

Pada majlis itu, bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gantang, Parit Buntar, Mohd Sa'ad Hashim dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Perak 2022, manakala bekas Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Mat Lazim Idris dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Negeri Perak 2022. - Bernama