Lantikan Tajuddin rosakkan sistem pemilihan duta: Salahuddin

Datuk Salahuddin Ayub
Datuk Salahuddin Ayub
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoal rasional pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sistem pelantikan bermotif politik ini bakal membuka pintu kebanjiran atau 'flood gate' terhadap kerosakan sistem pemilihan duta yang sedia ada pada masa hadapan.

"Indonesia adalah merupakan rakan strategik negara kita buat sekian lama. Mengisi posisi yang penting ini sepatutnya dibuat melalui proses yang sewajarnya bukan melalui pelantikan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia sebelum ini telah mendapat persetujuan daripada Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Tajuddin juga telah mendapat surat persetujuan daripada Jokowi.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang merupakan Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah turut mendakwa bahawa sistem pelantikan Duta Malaysia ke negara asing yang diamalkan selama ini dibelakangkan akibat motif politik.

"Rakyat sudah muak dengan adegan berkongsi 'kek' dalam kalangan orang yang berkepentingan terutamanya dalam keadaan ekonomi yang kritikal kini," tegasnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Pulai itu menggesa Ismail Sabri menjelaskan tentang perkara terbabit yang menjadi keresahan ramai pihak.