DBKL cari punca penyewa liat bayar sewa PA PPR DBKL

Gambar hiasan: PA Seri Perak Sentul.
Gambar hiasan: PA Seri Perak Sentul.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan mengusir merupakan pilihan terakhir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap penyewa rumah Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menghadapi masalah membayar sewa.

Mahadi
Mahadi

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, arahan telah diberikan kepada Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL untuk menjalankan kajian terperinci punca utama berlaku tunggakan yang terlalu lama.

Menurutnya, isu berkenaan sensitif dan perlu dilihat secara mendalam serta menyeluruh supaya tindakan yang bakal diambil diterima oleh semua pihak.

"Saya tidak pasti adakah benar dakwaan ada penduduk tidak pernah membayar sewa langsung selama 12 tahun. Adakah disebabkan mereka telah tinggal lama di sana atau ada masalah bayar sewa.

"Kita faham pada mereka yang betul-betul dalam kesusahan mungkin sukar untuk mencari dana atau wang untuk bayar.

"Kalau tengok dari segi kadar sewa tidak terlalu tinggi. Mungkin kita boleh bantu penyewa yang benar-benar tiada kemampuan ini melalui program-program tertentu atau bawa mereka mendapat bantuan melalui Bailtulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), " katanya mengulas dakwaan terdapat penduduk PA atau PPR duduk percuma tidak membayar sewa lebih sedekad.

Beliau ditemui pada program Majlis Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berlangsung di Institut Latihan DBKL (IDB), Bandar Tun Razak, pada Khamis.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mahadi bagaimanapun berkata, berlaku peningkatan pembayaran sewa daripada penduduk selepas Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL mengadakan pertemuan bersama penyewa yang menghadapi masalah tunggakan.

Jelasnya, DBKL sentiasa mengambil mengambil tindakan tegas kepada mereka yang benar-banar melanggar peraturan.

"Tiada kompromi terhadap mereka yang langgar peraturan seperti menyewakan unit kepada pihak ketiga atau kepada warga asing yang tindakan segera akan diambil.

"Jika ada maklumat DBKL akan bertindak tegas namun kadang kala maklumat itu tidak sampai kepada pegawai namun disebabkan desas-desus ini kita akan menjalankan siasatan termasuk intipan di 60,000 unit yang diselenggara DBKL," katanya.

Tambahnya, tindakan lebih tersusun dan sistematik perlu dilakukan supaya masalah tersebut dapat diselesaikan sepenuhnya dan tidak berulang pada masa hadapan.