KPM tubuh jawatankuasa khas tangani kes buli, seksual

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) bersama lapan individu yang dilantik sebagai Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan di bawah KPM.
Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) bersama lapan individu yang dilantik sebagai Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan di bawah KPM.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melantik lapan individu yang akan menganggotai Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambahbaik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di Institusi Pendidikan di bawah agensi tersebut.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, lantikan itu terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dan mempunyai latar belakang profesion berbeza.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim.

“Antaranya mantan pegawai kanan kerajaan, pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan (NGO).

“Penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan antara pendekatan KPM untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes berkenaan gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM.

“Kami yakin serta percaya, dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu KPM meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian yang boleh diambil bagi menangani kes gangguan seksual dan buli di institusi pendidikan bawah KPM,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Dalam pada itu, Radzi berkata, penyerahan watikah pelantikan tersebut telah dilaksanakan pada Rabu (semalam).

“Antara ahli yang lain adalah Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Pakar Psikologi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

“Selain itu, pengamal undang-undang, Datuk Dr P Sundramoorthy dan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan.

“Terima kasih atas kesediaan anda untuk bersama-sama membantu KPM,” ujarnya.