DPMM Kedah sambut baik pemansuhan AP bahan makanan

DPMM Kedah menyifatkan keputusan pemansuhan AP bekalan makanan satu tindakan segera yang boleh memastikan bekalan makanan negara mencukupi. Gambar kecil: Mohd Zayad
DPMM Kedah menyifatkan keputusan pemansuhan AP bekalan makanan satu tindakan segera yang boleh memastikan bekalan makanan negara mencukupi. Gambar kecil: Mohd Zayad
A
A
A

ALOR SETAR – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah menyambut baik keputusan kerajaan menghapuskan permit import (AP) bagi membawa masuk bahan makanan dari luar negara ke Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Yang Dipertua DPMM Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail menyifatkan keputusan tersebut merupakan tindakan segera yang boleh dilakukan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

Menurutnya, usaha itu juga dilihat boleh menangani isu kos sara hidup yang dilihat sukar untuk dielakkan ketika ini dan dapat menstabilkan harga di pasaran.

“Sistem AP untuk mengimport makanan sebelum ini dikhuatiri menjadi antara punca utama menyebabkan harga makanan asas melonjak.

“Ini boleh berlaku apabila permit import ini hanya diberi kepada orang atau syarikat tertentu, yang mana ia boleh menghasilkan monopoli yang membolehkan mengawal harga makanan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Zayad berkata, sistem AP yang digunakan sebelum ini juga dilihat hanya menguntungkan sebilangan kecil pihak, namun golongan ini tidak menyumbangkan nilai tambah yang signifikan untuk sektor agro makanan negara.

Beliau berkata, golongan ini juga dilihat membuat keuntungan atas angin tetapi realitinya keuntungan ini dibayar rakyat Malaysia.

“Disebabkan itu, pemansuhan AP ini dilihat akan mewujudkan pasaran yang lebih terbuka dan bebas seterusnya membantu meningkatkan kecekapan ekonomi negara.

"Persaingan import dan pengembangan perniagaan akan menghasilkan kos yang lebih rendah untuk pengguna serta menyediakan lebih banyak pilihan untuk rakyat," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Zayad berkata, pasaran yang kompetitif juga akan mewujudkan persaingan harga yang lebih terbuka.

“Apabila penawaran dan permintaan sudah menjadi seimbang berikutan lebih ramai pemain industri terlibat, pastinya harga akan menurun kerana itu adalah hukum ekonomi.

“Sebaliknya, sikap memonopoli dalam ekonomi boleh mengekang pertumbuhan ekonomi. Sebarang bentuk pakatan atau sering disebut ‘kartel’ dalam pasaran boleh mewujudkan manipulasi harga,” katanya.

Beliau menjelaskan sikap monopoli ini selalunya berakhir dengan konspirasi terhadap orang awam atau dalam sesetengah keadaan ia akan menyebabkan berlakunya peningkatan harga.

“Dengan itu, penghapusan AP import makanan ini adalah antara langkah proaktif diambil kerajaan yang boleh menghapuskan atau mengurangkan aktiviti monopoli seterusnya dapat mengawal harga di pasaran,” katanya.

Mohd Zayad memaklumkan, DPMM Kedah sangat mengalu-alukan sebarang bentuk langkah memudahkan perdagangan terutama sekiranya langkah itu membuka peluang perniagaan untuk usahawan tempatan.

Ujarnya, peluang seharusnya dibuka kepada sesiapa sahaja yang berkemampuan untuk mengimport bahan makanan supaya pengguna memiliki banyak pilihan.

Dalam perkembangan sama, beliau mengharapkan agar kerajaan turut mengambil pendekatan untuk mengurangkan kebergantungan kepada negara luar terutama membabitkan import pertanian.

“Sebagai contohnya, penanaman padi merupakan aktiviti ekonomi utama di Kedah, maka pihak kerajaan perlu memantau dan memastikan pengimportan beras tidak menjejaskan hasil petani di sini,” katanya.

"DPMM Kedah juga amat berharap kerajaan dapat mengutamakan pengimportan bahan tidak bertarif kepada yang bertarif," katanya.

Beliau turut berpandangan agensi kerajaan berkaitan industri makanan juga perlu terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti dan bekalan pengeluaran makanan domestik supaya keselamatan serta bekalan makanan rakyat Malaysia terjamin.

“Selain itu, kerajaan juga perlu memperkasakan peranan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana produk makanan ini haruslah mematuhi garis panduan ditetapkan,” katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan AP bekalan makanan tidak lagi diperlukan berkuatkuasa serta-merta bagi memastikan bekalan makanan di dalam negara mencukupi.