Pasukan petugas khas bebas siasat kes buli di hospital

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika berucap pada Program Hari Asma Sedunia 2022 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika berucap pada Program Hari Asma Sedunia 2022 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi jaminan beliau tidak akan mengganggu atau mencampuri tugas yang akan dijalankan pasukan petugas khas bebas untuk menyiasat isu buli di semua hospital di bawah Kementeriannya.

Beliau sebaliknya berkata, pasukan itu diberi kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan apa sahaja siasatan yang dirasakan perlu bagi melengkapkan tugas mereka.

“Pasukan petugas ini sudah mengadakan mesyuarat yang pertama dan saya bagi kebebasan kepada mereka untuk buat apa sahaja.

“Saya tidak akan ganggu sebab ini merupakan pasukan petugas khas yang bebas dan mereka berjanji dalam tempoh dua bulan akan hantar laporan kepada saya.

“Jadi sekarang ini kita bagi peluang kepada pasukan petugas khas ini untuk buat kerja mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Hari Asma Sedunia 2022 di sini pada Khamis.

Tambahnya, dalam masa sama beliau juga telah mengarahkan semua agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan kerjasama terbaik kepada pasukan petugas khas tersebut.

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama kepada pasukan petugas khas ini dan mereka boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja pegawai atau kakitangan semua agensi di bawah KKM.

“Mereka tidak perlu menyembunyikan apa-apa daripada pasukan petugas khas ini supaya semua maklumat yang diperolehi,” katanya.

Pada 13 Mei Khairy mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bebas susulan insiden melibatkan kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang (HPP) serta laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi kakitangan kesihatan di bawah kementeriannya.

Pasukan petugas itu dianggotai kumpulan pakar dan dipengerusikan bekas ketua setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir.