Habibah dilantik pengerusi tangani isu gangguan seksual, buli

Habibah
Habibah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim dilantik secara rasmi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Bagi Meneliti dan Menambah baik Prosedur Pengendalian Kes Gangguan Seksual dan Buli di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, penubuhan jawatankuasa khas ini merupakan antara pendekatan kementerian untuk mendapatkan solusi terbaik dalam menangani kes gangguan seksual dan buli.

Selain Habibah, turut menerima watikah pelantikan semalam ialah tujuh ahli jawatankuasa berkenaan yang merupakan individu berpengalaman luas dan mempunyai latar belakang profesion berbeza termasuk pensyarah, kaunselor, pegawai undang-undang serta wakil badan bukan kerajaan.

Mereka terdiri daripada Datuk Sutinah Sultan, Datuk Sulaiman Wak, Prof Datin Mariani Md Nor, Lt Kol Bersekutu (PA) Aminuddin Awang, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, Prof Madya (Kehormat) Datuk Dr Sundramoorthy dan ACP Siti Kamsiah Hassan.

"Kami yakin serta percaya dengan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya, jawatankuasa khas ini akan dapat membantu kementerian meneliti secara mendalam dan seterusnya mengesyorkan pelan tindakan bersesuaian,” kata Radzi dalam satu hantaran di Facebooknya, pada Khamis.- Bernama