X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Tinggalkan Bersatu, bekas ADUN Telok Mas masuk Amanah

Noor Affandi (kiri) menyerahkan borang keahlian kepada Adly.
A
A

MELAKA - Bekas Ahli Dewan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Affandi Ahmad menukar haluan perjuangan politiknya dengan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Beliau yang sebelum ini ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan itu selepas menyerahkan borang keahlian menyertai parti berkenaan kepada Naib Presiden Amanah yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada Selasa lalu.

Menerusi Facebook miliknya, beliau yang juga bekas exco kerajaan negeri Melaka menyatakan itu merupakan wadah baharu perjalanan politiknya.

"Sedikit sebanyak, pengalaman lalu baik suka mahupun duka akan dibawa bersama buat merencana suatu harapan yang lebih baik.

"Moga membawa manfaat kepada Malaysia tercinta, kekuatan diri akan diperkasa, kelemahan diri menjadi pedoman berharga," katanya.

Noor Affandi turut meminta tunjuk ajar daripada keluarga besar Amanah sebagai orang baharu dalam parti tersebut.

"Saya sedar saya ini budak baharu belajar, banyak kekurangannya, mohon tunjuk ajar dan kerjasama," katanya.

Menurut Noor Affandi, beliau tidak mahu mengamalkan politik gopoh dan tergesa-gesa.

Tegasnya, menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebelum ini dilakukan secara rela hati setelah yakin kepada asas permulaan politik bersama Pakatan Harapan (PH).

"Bila tiba masa sesuai dan keyakinan betul-betul sudah kuat, saya menyertai parti ini.

"Saya memilih Amanah kerana teras keyakinan politik saya tetap kepada perjuangan Melayu dan Islam yang bersifat sederhana termasuk mengutamakan perpaduan serta kerjasama dengan masyarakat berbilang bangsa bersama PH," katanya.

Sementara itu Adly mengalu-alukan penyertaan bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Melaka ke dalam Amanah.

"Semoga kita cekal terus berusaha untuk masa hadapan yang lebih baik buat negara," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!