Tiada lagi lesen baharu kilang kitar semula plastik di Selangor

Gambar kecil: Loy Sian
Gambar kecil: Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memutuskan lesen perniagaan baharu bagi kilang kitar semula plastik tidak akan dipertimbangkan dan diluluskan oleh pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Her Loy Sian berkata, ketetapan itu diputuskan pada Mesyuarat EXCO pada 11 Mei lalu.

Menurutnya, dasar pengoperasian kilang dan premis memproses sisa plastik kitar semula di negeri ini juga memutuskan tidak membenarkan pengimportan sisa plastik kitar semula bagi tujuan pemerolehan kembali atau pelupusan akhir.

"Selain itu, semakan semula setiap lima tahun perlu dibuat bagi permohonan lesen perniagaan baharu kilang plastik kitar semula dan kilang sedia ada yang mempunyai lesen perniagaan sah boleh terus beroperasi, tertakluk kepada syarat-syarat jawatankuasa teknikal penilaian impak alam sekitar (EIA), PBT dan syarat-syarat tambahan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Loy Sian berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan PBT hendaklah melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan menjalankan pemeriksaan lebih teliti bagi memastikan prosedur dan peraturan dipatuhi.

Jelas beliau, mesyuarat Exco turut bersetuju menolak permohonan lesen sementara dan penyambungan bekalan elektrik bagi sebuah syarikat yang menjalankan operasi memproses sisa plastik kitar semula di daerah Sepang.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira aduan penduduk dan hasil siasatan yang dijalankan serta kesan sisa plastik ke atas ekosistem dan kesejahteraan masyarakat di negeri Selangor.

"Pelaksanaan larangan ini juga adalah susulan daripada isu pencemaran yang kerap berlaku dan aduan lambakan sisa plastik akibat daripada pengurusan sisanya yang tidak terkawal dan tidak diurus dengan baik.

"Peningkatan import sisa plastik ke negara ini oleh kilang dan premis tanpa had juga merupakan punca utama berlakunya pencemaran," jelas beliau.

Tegas beliau, kerajaan Selangor perlu mengambil kira aspek pengurusan sisa plastik dan menanganinya secara menyeluruh bagi memastikan ia diuruskan dengan cara yang dapat mengurangkan kesan kemudaratan kepada kesihatan awam dan alam sekitar.

"Dengan adanya dasar ini, operasi penguatkuasaan oleh PBT dan jabatan atau agensi akan dijalankan dengan lebih tegas, termasuk larangan pemberian permit import sisa pembuangan dari luar negara ke kilang atau premis di negeri ini," ujarnya.

Jelas beliau, meskipun aktiviti mengimport dan menjalankan perniagaan sisa plastik berpotensi menyumbang kepada pendapatan negeri, namun ia perlu mengambil kira daripada aspek pengurusan sisa plastik tersebut bagi mengelakkan pencemaran berlaku yang boleh mengganggu ekosistem manusia dan alam sekitar.

"Kerajaan negeri memandang serius akan isu perubahan iklim dan pemanasan global yang semakin kerap berlaku dan usaha-usaha melestarikan alam sekitar perlu dipergiatkan lagi.

"Sebagai sebuah negeri maju, pembangunan ekonomi harus diseimbangkan dengan perlindungan alam sekitar untuk memastikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat seperti mana yang digariskan dalam matlamat pembangunan lestari," kata Loy Sian.