Penutupan kilang di Melaka tidak jejas bekalan ayam

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) dan timbalannya, Datuk Rosol Wahid (dua dari kiri) menunjukkan logo Barang Subsidi dan Barang Kawalan semasa majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis. - Foto Bernama
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua dari kanan) dan timbalannya, Datuk Rosol Wahid (dua dari kiri) menunjukkan logo Barang Subsidi dan Barang Kawalan semasa majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Bekalan ayam di pasaran tidak akan terjejas berikutan penutupan sebuah kilang pengeluaran di Jasin, Melaka hujung minggu ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu dimaklumkan oleh pihak industri ketika memberi penjelasan kepada kementerian tersebut.

"Mereka kata kilang ditutup disebabkan ayam tidak mencapai standard untuk dipasarkan iaitu 1.8 kilogram," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan KPDNHEP di sini, pada Khamis.

Menurutnya, syarikat berkenaan turut memberi alasan bahawa langkah itu untuk menjaga nama dan reputasi mereka.

"Mereka tidak mahu bekalkan ayam kecil kerana akan mengundang masalah kepada persepsi pengguna yang membeli ayam, kelak dipersoalkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan akhbar berhubung dakwaan kartel industri ayam yang merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad selepas kerajaan dikatakan lambat membayar tuntutan subsidi harga ayam, 60 sen sekilogram.

Dalam perkembangan sama, Alexander berkata, laporan berhubung dakwaan kewujudan kartel mengawal harga pasaran ayam akan dibentangkan pada Julai ini.

"Pasukan khas di bawah Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memerlukan sedikit masa sahaja lagi bagi melengkapkan laporan tersebut.

"Ia akan didedahkan kepada umum selepas dikemukakan kepada kabinet.Saya harap dengan keputusan dan langkah-langkah yang diambil dapat atasi masalah kartel dalam industri ayam," kata beliau.

Mengulas mengenai caj tambahan yang dikenakan terhadap pengguna yang ingin memotong ayam, Alexander berkata, kementerian akan memantau perkara tersebut.

Menurutnya, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas sekiranya caj yang dikenakan melampau dan tidak munasabah.

"Kalau caj perkhidmatan memotong ayam lebih RM1 sekilogram, ia terlalu tinggi kepada pengguna," katanya.