Pemborong getah didenda RM250,000 beri rasuah

Kean Kai hadir ke Mahkamah Sesyen untuk proses perbicaraan pada Khamis.
Kean Kai hadir ke Mahkamah Sesyen untuk proses perbicaraan pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang pemborong getah didenda RM250,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis selepas mengaku bersalah memberi suapan berjumlah RM589,450 kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara Ogos 2021 hingga Februari lalu.

Hakim, Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Th'ng Kean Kai, 33, selepas membuat pertimbangan sewajarnya terhadap rayuan tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Wang suapan berkenaan turut dilucutkan hak dan diserahkan kepada perbendaharaan negara.

Mengikut kertas pertuduhan pilihan, tertuduh telah memberi suapan wang tunai berjumlah RM589,450 kepada pegawai SPRM Ranveer Singh a/l Ranjit Singh yang menyamar sebagai ejen provokasi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 26 Ogos 2021 hingga 28 Februari 2022 di Bandar Sungai Petani.

Suapan itu sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh kerana mencuri arus elektrik.

Oleh itu, tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen 214 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak sampai sepuluh tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Bersandarkan fakta kes, Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama SPRM pada Februari 2021 telah mengesan kegiatan mencuri arus elektrik bagi tujuan melombong mata wang kripto dengan maklumat diperoleh menyatakan terdapat individu cuba memberi suapan kepada pegawai-pegawai TNB bagi memastikan kegiatan mereka tidak diganggu.

Berikutan itu, seorang pegawai SPRM ditugaskan menjadi ejen provokasi dengan menyamar sebagai individu berjawatan penyelia sebuah unit khas TNB.

Tertuduh dengan pegawai SPRM itu kemudiannya mula berhubung dan mereka telah mengadakan enam pertemuan termasuk di sebuah hotel di Sungai Petani.

Dalam setiap pertemuan tersebut, tertuduh didakwa telah menyerahkan wang tunai bernilai antara RM28,000 hingga RM215,000 dengan jumlah keseluruhan wang yang diserahkan tertuduh kepada pegawai SPRM tersebut berjumlah RM589,450.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib dan Kean Kai diwakili peguam Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.

Tertuduh kemudian membayar denda terbabit.