KKM, Straumann Group meterai MoU Program Implan Pergigian

 Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan syarikat peneraju bertaraf dunia dalam bidang implan dan pergigian estetik, Straumann Group Sdn Bhd memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) menerusi Program Implan Pergigian yang akan memberi manfaat kepada rakyat terutama golongan B40 untuk mendapatkan rawatan tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, menerusi MoU itu, Straumann Group akan menyumbang sebanyak 3,000 pakej implan pergigian lengkap bernilai lebih RM10 juta kepada rakyat yang memerlukan.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pesakit yang memenuhi kriteria dan akan diperincikan dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, implan pergigian merupakan rawatan penggantian gigi yang diperbuat daripada bahan yang bioserasi iaitu titanium dan ia tidak memberi kesan sampingan kepada badan dan tulang pesakit dapat melekat secara terus di permukaan bahan titanium itu.

"Implan pergigian juga tidak mengganggu gigi yang berdekatan serta lebih mudah dibersihkan berbanding dengan prostesis tetap yang lain," katanya.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, sebanyak 45.9 peratus daripada mereka yang masih mempunyai gigi memerlukan prostesis untuk menggantikan gigi yang hilang.

Beliau berkata, ia berikutan Hasil Tinjauan Kesihatan Mulut Kebangsaan bagi Orang Dewasa (2010) menunjukkan satu daripada empat orang dewasa di Malaysia mempunyai prostesis akibat kehilangan gigi.

“Selain itu, satu daripada tiga golongan dewasa yang tiada gigi memerlukan prostesis. Justeru, masih ramai rakyat memerlukan rawatan untuk penggantian gigi yang hilang bagi mengembalikan fungsi utama mulut,” katanya.

Bagi memastikan program implan pergigian tersebut berjaya dan tidak membawa kepada sebarang komplikasi, beliau berkata, pemantauan berterusan daripada KKM dan komitmen pesakit untuk menghadiri rawatan susulan adalah sangat penting.

Menurutnya, kajian menunjukkan sebanyak 19 hingga 65 peratus pesakit yang menerima rawatan implan pergigian mendapat penyakit mucositis, manakala satu hingga 47 peratus mendapat penyakit keradangan (peri-implantitis) sekiranya gagal dipantau secara berkala.

“Justeru, KKM akan memastikan taraf kesihatan mulut rakyat yang terbaik boleh dicapai bagi menyumbang kepada kehidupan yang sihat dan produktif.

“Komitmen ini dizahirkan melalui Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2021-2030 yang menekankan kolaborasi sektor awam dan swasta bagI menambah baik status kesihatan mulut dan kualiti hidup rakyat Malaysia,” katanya.